Feb 03, 2026 5PM
Pengeksport Pakistan buru kontrak daging halal AS$200 juta dengan Malaysia
Rancangan Malaysia untuk mengimport daging halal bernilai AS$200 juta (RM785 juta) dari Pakistan mencetuskan persaingan sengit dalam kalangan pengeksport Pakistan yang berhasrat menembusi pasaran Asia Tenggara yang diyakini menguntungkan.
Situasi itu ketika ini dilihat oleh Islamabad sebagai satu peluang yang dapat membantu memulihkan ekonomi negara itu yang sedang bergelut.
Namun, pemain industri mengingatkan, tanpa penambahbaikan prasarana dan langkah menurunkan kos ternakan, Pakistan berdepan risiko kalah kepada pesaing serantau.
Justeru, dengan pengalaman lebih dua dekad mengeksport daging halal ke Asia Tengah, sebuah syarikat memproses daging halal kini berhasrat meluaskan pasarannya ke Malaysia.
Fasiliti dikendalikan Anis Associates di Raiwind, Lahore, Pakistan itu berupaya memproses lebih 300 daging kambing dan lembu setiap hari.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam eksport daging halal ke Asia Tengah, syarikat Anis Associates kini bersedia melangkah ke pasaran Malaysia (foto kredit - Anis Safi Groups of Companies)
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Anis Associates, Nasib Ahmed Saifi berkata, perluasan yang diharapkan bukannya mudah dan memerlukan bantuan daripada pihak berkuasa.
“Jika kerajaan membantu kami barulah kami berpeluang memasuki pasaran (Malaysia).
“Harga haiwan ternakan termasuk cukai adalah mahal di sini. Lokasi kami juga jauh dari Malaysia, jadi caj pengangkutan adalah lebih tinggi dan ia dibayar dalam dollar,” katanya dipetik Channel News Asia.
Pengeksport Pakistan mendapat galakan daripada perjanjian bernilai RM788 juta yang ditandatangani Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dengan Malaysia sewaktu tokoh politik itu mengunjungi negara ini.
Lawatan rasmi tiga hari pemimpin Pakistan bermula 6 Oktober tahun lalu itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memulakan langkah baharu dalam kerjasama strategik, khususnya dalam sektor ekonomi, pendidikan dan teknologi.
Sementara itu, menurut Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Dasar Ekonomi, Ali Salman, Pasaran, perjanjian itu menandakan peningkatan ketara berbanding jumlah eksport sedia ada ke Malaysia.
"Untuk membangunkan perjanjian daripada (hampir sifar) kepada AS$200 juta kedengaran sangat bercita-cita tinggi, dan mungkin tidak realistik pada ketika ini," katanya yang menambah terdapat banyak cabaran akan datang untuk merealisasikan perkara itu.
Menurut Anis Associates, syarikat itu mematuhi standard antarabangsa bagi setiap peringkat pemprosesan daging halal, daripada penyucian, pemotongan hingga penyimpanan.
Bagaimanapun, pensijilan halal dikenakan kos AS$265 (kira-kira RM1,000) bagi setiap penghantaran dan pengeksport berharap kerajaan dapat memberikan subsidi.
Persaingan menimbulkan satu lagi cabaran.
Pasaran daging Malaysia kini dikuasai oleh Australia dan New Zealand dan India dengan pantas meningkatkan kehadirannya dengan menawarkan harga yang lebih rendah.
Pengeksport Pakistan memberi amaran kelebihan kos yang dimiliki India kini menjejaskan daya saing mereka.
Bagaimanapun, Pakistan mengekalkan kelebihan dalam eksport daging lembu, kerana India tidak mengeksport daging tersebut, memberikan pembekal Pakistan akses kepada pasaran produk daging lembu Malaysia.
Cabaran logistik juga satu halangan utama. Kerajaan berkata, mereka sedang menaiktaraf infrastruktur dan mengembangkan rantaian bekalan yang dikawal suhunya.
Laporan itu turut menyebut Islamabad juga menggunakan saluran diplomatik untuk membantu pengeksport Pakistan berhubung secara langsung dengan pembeli dari negara ini.
Penganalisis bersetuju bahawa penambahbaikan dalam piawaian, pensijilan dan logistik boleh membuka pintu kepada industri daging halal Pakistan untuk meneroka pasaran Malaysia yang luas.
Tetapi kejayaan, kata mereka, akan bergantung pada seberapa cepat kerajaan dan pengeksport dapat mengatasi cabaran struktur itu.
Waktu Solat


04 Feb 2026
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:30












