Mar 04, 2025 1PM
Pengesahan halal dari 3 badan tidak diiktiraf, dilarang masuk Malaysia
Produk yang disahkan halal oleh tiga badan pensijilan halal luar negara tidak dibenarkan memasuki Malaysia.
Antara tiga badan pensijilan yang ditarik balik pengiktirafannya ialah China Islamic Association (CIA) dari China, Centre For Halal Quality Certification (CHQC) dari Croatia dan Ritual Association of Lyon's Great Mosque (ARGML) dari Perancis.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, larangan itu berkuat kuasa selepas pengiktirafan halal mereka ditarik oleh JAKIM sehingga ketiga-tiga badan terlibat membuat penambahbaikan dan pembetulan terhadap kesilapan.
"Badan ini diberikan tempoh untuk membuat penambahbaikkan dan pembetulan terhadap kesilapan yang berlaku untuk kita nilai semula dari segi pengiktirafan tersebut.” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI JAKIM di Kampung Menora di Sekolah Kebangsaan Menora di sini hari ini.
Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, larangan itu berkuat kuasa selepas pengiktirafan halal mereka ditarik oleh JAKIM
"Produk yang telah memasuki Malaysia lebih awal adalah tidak dikhuatiri (status halalnya) tetapi jika ada keperluan, kita akan menarik keluar daripada pasaran. Kita juga akan minta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk ditarik keluar.” tambah beliau.
JAKIM dilaporkan mengemas kini senarai Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf setelah pengiktirafan terhadap tiga badan sedia ada ditarik balik serta mengumumkan perubahan logo halal bagi dua buah negara, Sri Lanka dan Arab Saudi.
-- BERNAMA
Waktu Solat


17 Jun 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:43

