May 19, 2025 3PM
Australia berunding tingkat eksport daging Halal ke Malaysia
Sebagai usaha mengembangkan industri eksport Halalnya, Australia libatkan diri dalam sesi rundingan bersama Malaysia berhubung sebuah perkongsian strategik.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, keputusan rundingan tersebut akan memberi kelebihan dari segi perbandingan dalam pertanian dan teknologi melibatkan pertanian yang menjadi aspirasi Malaysia dalam industri Halal.
“Terdapat banyak peluang dan kami berharap dapat memuktamadkan perkongsian melalui rundingan yang telah kami usahakan dengan Malaysia,” katanya seperti dilapor BERNAMA.
Menurut Heinecke, sekurang-kurangnya 17 pengeksport daging Australia ke Malaysia berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), menunjukkan pematuhan penuh pengusaha industri berhubung piawaiwan Halal yang tinggi oleh JAKIM.
Malaysia mengimport 73 peratus daripada jumlah keseluruhan dagingnya dari luar negara (kredit foto: Malaysiakini)
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia, negara itu merekodkan eksport sebanyak 38, 220 tan daging biri-biri Halal dan 13,511 tan daging lembu Halal ke Malaysia dengan masing-masing bernilai A$249.26 juta (RM1.075 billion) dan A$120.83 juta (RM521 juta) pada tahun lalu.
Menurut laporan sebuah penerbitan berfokuskan pasaran eksport daging lembu dan biri-biri ke Malaysia, Meat and Livestock Australia, Malaysia berada di tangga kedua sebagai pasaran eksport daging merah Australia terbesar dari segi jumlah di Asia Tenggara, selepas Indonesia.
Menurutnya, penggunaan daging lembu per kapita rakyat Malaysia adalah tertinggi di kalangan negara ASEAN iaitu 8.8 kilogram (kg) bagi setiap orang pada 2024.
Heinecke berkata Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) telah memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara tersebut, memudahkan perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke (kredit foto: Universiti Tunku Abdul Rahman)
Untuk rekod, selain menjadi rakan dagang kedua terbesar Australia di ASEAN, Malaysia juga merupakan rakan kongsi ke-10 terbesar negara kaya marsupial itu, menjadikan jumlah perdagangan pada 2023 hingga 2024 bernilai A$33 billion (RM142 billion).
Heinecke berkata, hubungan ekonomi dan perdagangan antara dua negara itu adalah matang, komprehensif dan saling melengkapi.
“Pada 2023-24, Malaysia merupakan rakan dagang dua hala kedua terbesar kami di kalangan negara anggota ASEAN dan rakan kongsi ke-10 terbesar secara keseluruhan,” katanya.
Antara jenama runcit Australia yang boleh didapati dalam pasaran Malaysia adalah Aesop, Arnott's, Blackmores, Boost Juice, Cotton On, Harvey Norman dan King Living.
Ladang solar milik syarikat tempatan, Gentari di Australia selepas pemerolehan syarikat Wirsol dua tahun lalu (kredit foto: PV Tech)
Terdahulu semasa program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “Diplomatic Dispatch: Australia–Malaysia: Partners in a Changing Indo-Pacific”, beliau berkata Canberra sedang mempergiatkan libat urus ekonominya di Asia Tenggara khususnya melalui misi perdagangan dan pelaburan yang disasarkan.
"Kami membawa misi perdagangan dan pelaburan ke sini yang berpusat di sekitar Energy Asia dan juga meneroka peluang dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Australia adalah pelabur teknologi digital keempat terbesar di Malaysia,” katanya.
Heinecke memaklumkan antara usaha niaga Malaysia yang berjaya di Australia adalah projek tenaga boleh baharu, Gentari dan infrastruktur pengangkutan berteknologi tinggi, Gamuda sebagai libat urus ekonomi dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Selain MAFTA, Malaysia dan Australia merupakan anggota Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Waktu Solat


22 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Isha
pada
20:35

