Back To Halal News

Jan 27, 2026 11AM

Baitulmal MAIS terima, sucikan harta tidak patuh syariah untuk manfaat masyarakat

author

NUR AMIRA AFRINA

WAWANCARA | Selain bertanggungjawab mengendalikan kutipan zakat dan wakaf, Baitulmal turut berperanan sebagai Tazkiyatul Amwal atau badan penyuci harta yang menerima wang tidak patuh syariah untuk digunakan ke arah kebajikan dan kemaslahatan umum.

 

Pengarah Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Indera Shahril Mohd Shahid berkata, harta tidak patuh syariah iaitu hasil kewangan bersumberkan judi, riba dan rasuah adalah haram digunakan untuk kegunaan peribadi, dan sebaliknya harus diserahkan kepada Baitulmal.

 

Menurut beliau, hukum itu turut terpakai kepada harta syubhah, iaitu harta halal dan haram yang telah bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan.

 

Katanya, status wang tersebut akan bertukar daripada harta tidak patuh syariah kepada wang Baitulmal sebaik ia diserahkan kepada badan kerajaan negeri itu.

 

“Baitulmal ini ibarat mesin basuh, ia mencampurkan wang tidak patuh syariah dengan wang-wang lain dan menggunakannya untuk kebajikan komuniti, sekali gus mengubah status wang itu.

“Berbeza dengan aktiviti pengubahan wang haram (money laundering), wang yang diserahkan kepada Baitulmal tidak akan dipulangkan, jadi ia tidak mendatangkan keuntungan peribadi kepada pemegang harta tersebut.


Pengarah Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Indera Shahril Mohd Shahid. 


“Setiap tahun, peruntukan untuk aktiviti-aktiviti MAIS datang daripada dana yang pelbagai, ini termasuk wang tidak patuh syariah,” katanya.

 

Selain itu, jika pemegang harta mahu bersedekah menggunakan harta tersebut tanpa melalui mana-mana agensi, Indera berkata individu terbabit tidak akan mendapat pahala kerana harta itu bukan miliknya untuk disedekahkan.

 

Tambahan pula, jika harta itu diperolehi melalui hasil mencuri atau rasuah, beliau berkata individu itu bertanggungjawab memulangkan semula harta itu kepada pemilik asal dan hanya menyerahkannya kepada Baitulmal sekiranya pemilik asal atau warisnya tidak dapat dikesan.

 

Seperti zakat, beliau menjelaskan sebaiknya harta tidak patuh syariah disalurkan kepada Ulil Amri iaitu pemerintah negeri atau wakilnya– Baitulmal – untuk memastikan agihan dibuat dengan saksama dan mencapai manfaat berbanding melupuskannya sendiri.

 

“Badan berautoriti itu juga dapat memastikan keseluruhan harta tersebut benar-benar disucikan serta individu itu dinilai dan diberikan bimbingan agar dia jelas akan sumber-sumber kewangan yang boleh menjadikan sesuatu harta itu haram,” katanya.


Namun, Indera menegaskan orang awam sewajarnya meninggalkan kegiatan yang menghasilkan harta tidak patuh syariah dan tidak bergantung kepada Baitulmal sebagai badan penyuci harta semata-mata.


Penghasilan harta tidak patuh syariah hanya membentuk ekonomi yang penuh dengan penipuan, syak wasangka dan ketidakpastian. (kredit foto: Malaysiakini)


Jelasnya, institusi itu bukan tiket untuk seseorang melakukan transaksi melibatkan harta tidak patuh syariah dan melepaskan diri walaupun dia mengetahui bahawa mengambil, menyimpan dan menggunakan harta itu adalah berdosa.

 

Beliau berkata, seseorang itu harus bertaubat kepada Allah S.W.T dan menjauhkan diri daripada aktiviti sedemikian jika dia ingin menebus dosa dan membersihkan semula dirinya, bukan sekadar menyerahkan harta tersebut kepada Baitulmal.

 

“Ada segelintir orang fikir boleh sewenang-wenang menyalurkan wang tidak patuh syariah ke Baitulmal, rumah anak yatim atau rumah kebajikan.

 

“Dia tetap menjalankan aktiviti yang sama seolah-olah tempat-tempat ini sekadar tempat cuci duit sedangkan sebenarnya tidak boleh, dia kena berhenti,” tegas beliau.

 

Indera berkata, isu itu akan berlarutan sekiranya pemegang harta meninggal dunia tanpa sempat melupuskan harta tidak patuh syariah itu kerana harta itu tidak boleh diwarisi.

 

Waris yang tidak mengetahui status harta tersebut berisiko menggunakan harta itu untuk kepentingan peribadi, sedangkan ia harus dihabiskan dan dimanfaatkan untuk kemaslahatan umum mengikut fatwa.


Kutipan wang tidak patuh syariah bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk kebajikan masyarakat, namun melemahkan industri dan kegiatan haram seperti judi dan riba. (kredit foto: X Fedtri Yahya dan Berita Harian)


“Jika waris mengetahui sumber harta itu, maka dia sewajarnya menyerahkan harta tersebut kepada Baitulmal agar ia tidak dinikmati oleh waris dan waris itu tidak terjebak dalam rantaian harta yang tidak suci.

 

“Walaupun pemegang harta itu tidak sempat bertaubat, mudah-mudahan urusan pemegang harta yang sudah meninggal dunia itu dipermudahkan selepas hartanya dilupuskan.


“Namun, sekiranya waris tidak mengetahui akan status harta tersebut dan sudah menggunakanya untuk kepentingan peribadi, maka ia dimaafkan,” katanya.

 

Menurut Indera, isu sedemikian, menjadi antara asbab utama kesedaran dalam kalangan masyarakat harus diperkukuh agar umat Islam lebih peka akan sumber harta yang mereka perolehi.

 

Indera menyeru individu dan syarikat yang mempunyai harta tidak patuh syariah untuk menyerahkan harta tersebut ke Baitulmal agar ia dapat disalurkan ke arah kebajikan masyarakat dan membentuk komuniti yang lebih cakna akan sumber pendapatan mereka. 

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

31 Jan 2026

Waktu solat berikutnya,

Maghrib

pada

19:28

mosque
imsak

Imsak

06:08:00

fajr

Fajr

06:18:00

syuruk

Syuruk

07:26:00

dhuhr

Dhuhr

13:29:00

asr

Asr

16:51:00

maghrib

Maghrib

19:28:00

isha

Isha

20:40:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase