Back To Halal News

Sep 29, 2023 5PM

HIP dan Kinihalal meterai kerjasama promosi HIMP2030

Halal Integrated Platform (HIP) di bawah selia Halal Development Corporation (HDC) bersama Saluran Informasi Halal, Kinihalal telah menandatangani memorandum persetujuan (MoA) bagi pembangunan kandungan dan informasi secara strategik dalam industri halal bersempena ulang tahun ke-2 HIP yang dilancarkan pada 9 September 2021. 

MoA tersebut bertujuan untuk menyebar luas naratif kandungan halal berstrategik, informasi tepat dan tersusun kepada industri halal yang tidak hanya tertumpu di Malaysia bahkan ke peringkat global. 

“HIP mewakili HDC dalam bentuk digital. Setiap tawaran, bantuan dan inisiatif dari HDC dan rakan strategik HDC sememangnya akan ditawarkan melalui HIP sendiri. Jadi kami amat menitikberatkan impak baik kepada para pemain industri bermula daripada peniaga mikro sehingga pengeksport sendiri,” kata Ts. Mohammad Hafiz Jamaluddin yang merupakan Ketua Jabatan Halal Integrated Platform, HDC. 

HIP merupakan platform digital yang dikuasakan oleh HDC, memegang niat untuk menaiktaraf dan merancakkan lagi ekosistem industri Halal agar ia dapat membantu menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM56 billion pada tahun 2025 sekaligus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.  HIP, yang mempunyai aplikasi mobile di IOS dan juga Android, bermula dengan 300 ahli pemula difokuskan kepada Peniaga Kecil Sederhana (PKS) dan kini sudah berjaya mengumpul lebih 11,000 ahli. 

“Pada waktu HIP mula beroperasi, negara dilanda wabak Covid-19 dan HIP tidak terkecuali merasa kesannya. Jadi kami mula dengan sebilangan kecil ahli HIP dengan memberi mereka apa yang mereka perlu sebagai usahwan iaitu akses kepada dana daripada Bank Islam sendiri, latihan dan juga pasaran,” kata Hafiz.

Mohammad Hafiz Jamaluddin, Ketua Halal Integrated Platform sewaktu ditemu ramah oleh Kinihalal di pejabat HDC.

Hafiz juga berkata bahawa untuk merekruit ahli HIP pada mulanya bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan strategi dan usaha yang tepat bagi memastikan HIP dilihat sebagai pemudah cara untuk usahawan dan pemain industri. Walaupun pendaftaran ahli adalah percuma, tetapi adaptasi digital seperti pendaftaran dan memenuhkan profil lengkap di HIP agak perlahan pada mulanya. 

“Disebabkan oleh pandangan yang skeptikal, kami mula mengadakan inisiatif turun padang melalui program Jelajah Halal Malaysia untuk mempromosikan HIP secara bersemuka kepada usahawan PKS di Malaysia. Kami juga menyediakan testimoni dari ahli-ahli yang sedia ada pada waktu itu dengan berkongsi perkembangan perniagaan mereka dengan bantuan HIP sebagai satu agenda pemudah cara dengan pemain-pemain industri halal yang lain,” sambung Hafiz. 

Apabila ditanya tentang keberhasilan HIP, Hafiz berkongsi bahawa HIP baru-baru ini telah bekerjasama membantu kedai serbaneka berkonsepkan Korea, emart24 dengan mengadakan pemadanan bisnes ‘product pitching’ bersama PKS yang berminat untuk memasarkan produk di outlet emart24. Seramai 17 syarikat dari ahli HIP telah terpilih, dan kesemuanya dikatakan berjaya memasuki pasaran emart24. 

“HIP ini tidak hanya berfokus untuk membantu peniaga PKS sahaja, malah ia juga membantu para pelabur, pengusaha pasaraya besar mahupun kecil, institusi kewangan dan pembangunan bakat profesional untuk bekerjasama dalam industri ini. Sebagai contoh, sesuatu yang sebelum ini memakan masa yang lama untuk mencari dan meneliti syarikat yang layak untuk memasuki pasaran, namun melalui pangkalan data yang tersedia di HIP, ia memudah cara proses mencari syarikat yang memenuhi kriteria yang ditetapkan” kata Hafiz. 

HIP bertujuan untuk membantu memudahkan syarikat-syarikat yang ingin mendapatkan sijil halal untuk mencari ramuan dan kandungan yang halal serta mendapat akses kepada khidmat konsultasi daripada HDC. Selain itu, HIP juga membantu dalam memasarkan produk yang sudah sedia ada di dalam rantaian bekalan halal. Lebih menarik lagi, HIP juga mempunyai senarai bakat Eksekutif Halal yang merupakan jawatan khusus yang perlu diwujudkan oleh pihak syarikat dengan keutamaan dan tugas hakiki berkaitan skop pengurusan halal.

“Pendaftaran ahli HIP hanya memerlukan emel dan kata laluan sahaja. Akan tetapi, profil perniagaan perlu diisi dengan lengkap untuk memaksimalkan manfaat yang ditawarkan oleh HDC dan memudahkan HDC untuk melaksanakan padanan perniagaan dan pemasaran produk di peringkat domestik dan antarabangsa,” tambah Hafiz lagi. 

Tidak menyangkal bahwa kedudukan HIP dibawah HDC dan MITI juga memberi nilai tambah kepada pengenalan HIP kepada pemain industri. Hafiz juga mengatakan bahawa kini ramai yang mula mendaftar sebagai ahli secara ‘organik’ sehingga mencecah lebih 11 ribu ahli.

Ditanya tentang kerjasama antara HIP dan Kinihalal, Hafiz menyatakan bahawa ia satu kerjasama strategik yang banyak membantu ahli HIP sendiri dari segi pemasaran dan penciptaan kandungan.  

“Kinihalal merupakan rakan strategik media pertama kami dan yang membuatkan ia lebih unik kerana kami bekerjasama dengan saluran media dalam membantu memasarkan usaha kami sekaligus mempromosikan produk dan perkhidmatan ahli HIP melalui Talkshow, liputan media, video pemasaran dan sebagainya,” kata Hafiz.

Hafiz mengatakan bahawa HIP sememangnya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pengiklanan dan media, oleh itu HIP sangat menghargai kerjasama ini dan berharap untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan industri-industri lain. 

Kinihalal, The Go To Halal Channel, satu media platform yang menghasilkan dan menyebarkan kandungan serta berita yang berkaitan dengan industri halal. 

“Kerjasama ini diketengahkan kerana kita tidak mahu orang luar masih skeptikal tentang halal yang dilihat hanya tertumpu kepada sektor makanan tradisional sahaja. Oleh itu, Kinihalal banyak menghasilkan kandungan-kandungan yang mampu membuka persepsi yang lebih luas tentang halal, selain pensijilan dan makanan tetapi menjangkau produk seperti kosmetik, farmaseutikal, peranti perubatan, dan banyak lagi,” tambah Hafiz. 

Dalam masa yang sama, Hafiz berharap agar kerjasama kedua-dua pihak ini bukan hanya fokus dalam membantu pemain industri halal di Malaysia sahaja malah pemain halal luar negara seperti Indonesia, Taiwan, Korea, Jepun dan sebagainya. 

Tambahnya lagi, kerjasama ini akan meningkatkan kesedaran kepada industri dan pengguna kepada 7 Teras Strategik Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030), yang bertujuan untuk menggalakkan kualiti, penawaran industri Halal yang inovatif dan berdaya saing, membangunkan syarikat tempatan yang berprestasi tinggi dan memacu mampan, pertumbuhan sosio-ekonomi yang seimbang dan inklusif.

Diharapkan naratif dan penciptaan kandungan (content creation) halal akan disebar luas secara tepat, menarik dan meyakinkan sekaligus meningkatkan kredibiliti produk dan organisasi halal  di Malaysia dengan menyokong HIMP2030 ke Arah Halal Malaysia yang lebih menyerlah di peringkat global.


Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

27 Jul 2024

Waktu solat berikutnya,

Dhuhr

pada

13:23

mosque
imsak

Imsak

05:50:00

fajr

Fajr

06:00:00

syuruk

Syuruk

07:11:00

dhuhr

Dhuhr

13:23:00

asr

Asr

16:45:00

maghrib

Maghrib

19:30:00

isha

Isha

20:43:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

hiphip

Media Partner for

Hei 2023Malaysia Showcase