Sep 25, 2024 12PM
Konsert 5 Rukun 2.0: Melestarikan Hiburan Dakwah
Rabbani, Hafiz Hamidun, dan Mawi bakal melakukan persembahan di Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) sebagai tanda solidariti terhadap situasi rakyat Palestin di Gaza
Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) menghimpunkan lima artis terkemuka tanah air, iaitu Rabbani, Mawi, Hafiz Hamidun, Khai Bahar, dan Inteam dalam usaha memastikan hiburan dakwah terus relevan dan menjadi medium penting untuk mendidik akhlak, menyebarkan ilmu Islam, serta mempertingkatkan keimanan kepada Allah SWT.
Menurut Pengarah Urusan MAC Training Centre Sdn Bhd, Puan Samirah Hambali, pihak mereka merasakan bahawa hiburan berunsur dakwah masih mempunyai pengikut yang setia walaupun hiburan musik sekular lebih banyak diadakan.
Hiburan dakwah masih mempunyai tempat di kalangan masyarakat kita - Puan Samirah Hambali
“Masih ramai lagi golongan yang dahagakan hiburan dakwah yang seumpama ini sebagai suatu terapi jiwa mereka khususnya yang amat meminati muzik serta lagu-lagu nasyid serta ketuhanan atau genre muzik vokal Islam.
“Penganjuran konsert ini adalah usaha kecil daripada pihak kami untuk berdakwah dengan berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dalam bentuk hiburan yang lebih bijaksana,” kata beliau.
Pengarah muzik Encik Radzali Mustaffa dan Encik Kamrul Bahri akan memimpin Orkestra Tradisional Komtemporari UiTM
Konsert ini akan berlangsung selama dua jam dan dibahagikan kepada dua segmen, yang menampilkan persembahan solo, duet, serta nyanyian beramai-ramai oleh para artis sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin. Selain itu, konsert ini akan diiringi oleh Orkestra Tradisional Kontemporari UiTM yang terdiri daripada 25 orang pemuzik, di bawah pimpinan pengarah muzik Encik Radzali Mustaffa dan Encik Kamrul Bahri.
Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) juga turut dibantu rakan strategik, Cinta Gaza Malasysia serta Kolej Pengajian Seni Kreatif Univesiti Teknologi MARA (UiTM), lokasi (venue) rasmi, RCD Big Studio, rakan radio, Zayan 104.9 FM, tiket rasmi, Ubertickets.Asia, penaja makanan rasmi, Sidah Catering Services (M) Sdn Bhd serta rakan penaja lain iaitu Ali Maju dan Inteam Marketing.
Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) bakal diadakan pada 2 November 2024. Acara ini dianjurkan oleh Mac Training Centre Sdn Bhd dan akan berlangsung di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, bermula jam 8 malam.
Tiket berharga RM350 (Zone A), RM238 (Zone B), RM117 (Zone C), dan RM90 (Zone D) boleh didapati menerusi pautan: https://5rukun2perjuanganmu.ubertickets.asia/
Sebanyak RM5 daripada setiap tiket akan disumbangkan ke Tabung Cinta Gaza Malaysia, dengan potongan harga 20% bagi pembelian berkumpulan dan pelajar.
Penganjuran konsert ini adalah kesinambungan dari kejayaan Konsert 5 Rukun yang diadakan pada tahun sebelumnya, yang menampilkan konsep Lima Rukun Islam. Namun, kali ini, Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) membawa tema sejarah perjuangan Rasulullah SAW serta para pemimpin Islam yang menegakkan syiar Islam di muka bumi ini.
Ingin menampilkan siaran akhbar, temu bual eksklusif, atau kandungan berjenama anda di Kinihalal & Malaysiakini? Email kami di [email protected]
Sertai komuniti Halal kami untuk mendapatkan berita dan acara terkini.
Ikuti Kinihalal di: Facebook, LinkedIn, Instagram, dan TikTok.
Waktu Solat
13 Oct 2024
Waktu solat berikutnya,
Isha
pada
20:12