Mar 24, 2025 7PM
Kuih Raya hasil penghuni penjara sasar keuntungan RM2 juta
Sebanyak 60,000 balang kuih raya yang dihasilkan oleh lebih 300 banduan dari 10 penjara laris dijual sejak 21 Mac lalu.
Jualan kuih raya air tangan penghuni penjara disasarkan akan mencapai keuntungan sebanyak RM2 juta berbanding RM1.4 juta tahun lalu.
Komisioner Penjara Jeneral Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, sambutan pada tahun ini ternyata luar biasa, dengan Galeri Produk My Pride yang beroperasi dari 9.00 a.m hingga 4.30 p.m tidak henti diserbu pengunjung.
Menurut beliau, perancangan penjualan biskut hari raya itu telah bermula sejak awal tahun lagi, dengan institusi penjara terlibat menghantar lebih 80 contoh produk yang ingin dipasarkan sempena Aidilfitri ini untuk penilaian.
"Berdasarkan maklum balas uji rasa yang pihak kami lakukan, lebih 40 jenis biskut raya dan kudapan, termasuk rempeyek, muruku dan tempe goreng telah dipilih untuk dijual di galeri, seperti yang dapat dilihat pada tahun ini dan ia dijual pada harga bermula RM12 hingga RM30 sebalang.
Komisioner Penjara Jeneral Datuk Abdul Aziz Abdul Razak (kredit foto: Facebook Jabatan Penjara Malaysia)
"Paling mendapat sambutan pada tahun ini, ialah 'Tart Nanas Geboo' dari Pengkalan Chepa, 'Cinta Hati Dahlia' dari Seberang Perai dan 'Swiss Tart' dari Bentong," katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Kuih lain yang dijual termasuk tart nanas keju, biskut Butang Baju Abang Jamil, badam coklat, biskut Black Button, Rainbow Delight, biskut mazola, makmur, bangkit, semperit, popia manis, kuih rotan dan biskut Peanut Crunchy.
Beliau berkata, sambutan dan pencapaian ini menunjukkan bahawa rasa dan kualiti produk yang dihasilkan oleh penghuni tirai besi setanding dengan biskut raya yang ada di pasaran.
Ia juga membuktikan program pemulihan oleh Jabatan Penjara Malaysia mampu menjadi bekalan yang berguna untuk membantu penghuni membentuk kembali kehidupan yang tersasar sebelum ini, apabila dibebaskan kelak.
Pengunjung Galeri Produk My Pride juga berpeluang membeli produk lain seperti kain batik dan beg dompet sempena Aidilfitri (kredit foto: Facebook Fara Halim)
Abdul Aziz berkata selain di Galeri Produk My Pride, produk sempena Hari Raya Aidilfitri itu juga boleh didapati di gerai jualan di Istana Kehakiman, Putrajaya bermula 24 hingga 26 Mac, yang dibuka dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara.
Tambah beliau, hasil jualan akan disalurkan ke Akaun Amanah Pemulihan dan Kebajikan Penghuni dan penghuni penjara yang terlibat dalam bentuk insentif berdasarkan tahap kemahiran dimiliki, kata Abdul Aziz lagi.
"Hasil ini juga akan digunakan untuk membuat perolehan bahan mentah, peralatan, naik taraf fasiliti, latihan kemahiran TVET serta melaksanakan aktiviti-aktiviti pemulihan dan kebajikan penghuni seperti majlis keagamaan, sukan, seni dan kebudayaan," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan Nuraisha Rusli, 41, dari Hulu Langat berkata tahun ini merupakan tahun keempat dia membeli biskut raya dari galeri berkenaan kerana kualiti dan rasanya yang enak, terutamanya tart nanas dari Penjara Pengkalan Chepa.
"Tahun ini saya datang lagi kerana banyak kuih yang tular dan harga yang ditawarkan juga berbaloi berbanding kualiti premium yang ditawarkan malah jauh lebih rendah berbanding kuih yang dijual di luar," katanya.
Waktu Solat



