May 11, 2026 12PM
Daftar Musyawarah Nasional sebagai NGO, bukan milik pihak tertentu - Zahid
Bagi mengelakkan monopoli mana-mana parti politik, kelompok, atau individu tertentu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Musyawarah Nasional didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Inisiatif itu juga dapat membantu organisasi itu untuk menghimpunkan seluruh pemikiran dan aspirasi Melayu Islam tanpa campur tangan asing.
Ahmad Zahid yang juga merangkap pengasas Musyawarah Nasional berkata, gerakan itu perlu menjadi saluran bersama yang inklusif, berterusan dan lebih tersusun dalam memperjuangkan agenda Melayu, Islam dan perpaduan negara.
“Setiausaha Tetap Musyawarah Nasional hendaklah segera mengambil tindakan untuk mendaftarkan Musyawarah Nasional sebagai sebuah NGO di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Jangan ditubuhkan sebagai gabungan parti politik, tetapi sebuah NGO yang menggabungkan fikrah seluruh kaum Melayu-Islam di negara ini,” k
atanya seperti dilapor Bernama.
Media melaporkan, beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Musyawarah Nasional bertemakan Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya? yang julung kali diadakan di ibu kota, semalam.
Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali umum sebagai PU Riz ketika sesi Soal dan Jawab (Q&A) sepanjang majlis berlangsung, semalam. (kredit foto: Facebook Zahid Hamidi)
Tambah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, Musyawarah Nasional perlu menjadi milik semua pihak yang ikhlas mahu melihat bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia terus diperkasakan.
“Musyawarah Nasional ini bukan milik mana-mana individu, bukan juga milik mana-mana kelompok atau mana-mana politik dan ia mesti menjadi milik semua yang ikhlas, yang mahu melihat bangsa ini berdiri dengan lebih yakin, lebih bermaruah dan lebih tersusun untuk berjaya membangun bangsa di tanah air sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid menjamin bahawa segala resolusi dan cadangan yang diutarakan dalam Musyawarah Nasional tidak dibiarkan sebagai retorik atau dokumen simpanan, sebaliknya dipantau sehingga ke peringkat pelaksanaan.
Jelasnya, beliau sendiri akan memastikan setiap resolusi yang dipersetujui mempunyai tindakan susulan dengan penglibatan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.
“Saya tidak mahu resolusi hanya diserahkan kepada kementerian dan jabatan, kemudian ‘dibakulkan’ begitu sahaja.
“Saya sendiri akan membawa cadangan-cadangan ini kepada Kabinet dan semua menteri Melayu-Islam dalam kerajaan perlu memainkan peranan untuk memastikan agenda ini dilaksanakan,” katanya.

Zahid dalam sebuah hantaran di Facebook berkata, Musyawarah Nasional bukan medan untuk menyemarakkan perpecahan, sebaliknya diwujudkan sebagai ruang bermuhasabah dan mencari penyelesaian berpandukan ilmu, hikmah dan semangat kebersamaan. (kredit foto: Facebook Zahid Hamidi)
Susulan itu, beliau berkata sebuah sekretariat tetap di bawah Musyawarah Nasional akan diwujudkan untuk memantau pelaksanaan semua cadangan dan memastikan lima teras utama; agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial dibincangkan secara berkala.
Menurutnya, pengerusi bagi setiap teras yang dibentangkan dalam musyawarah itu bertanggungjawab mengadakan pertemuan susulan sekurang-kurangnya setiap dua bulan bagi memperincikan pelaksanaan agenda berkaitan Melayu, Islam dan perpaduan nasional.
Antara resolusi yang dibawa dalam Musyawarah Nasional ialah memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera dengan lebih berani dan tersusun untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat itu lalu mengeluarkan mereka daripada kelompok berpendapatan rendah.
“Bantuan tetap penting tetapi bantuan bukan strategi jangka panjang. Strategi sebenar ialah pemilikan kemahiran, pekerjaan bergaji tinggi, akses modal, akses pasaran dan penguasaan sektor masa depan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu diberi mandat lebih jelas sebagai enjin pembangunan bumiputera.
Beliau berkata negara juga perlu melahirkan lebih ramai usahawan dan pemain industri bumiputera dalam sektor strategik seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, tenaga baharu, industri halal, pertanian moden dan teknologi tinggi.
Waktu Solat


11 May 2026
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:20
















