Feb 26, 2026 2PM
Resipi buka puasa Khairul Aming bantu suri rumah jana pendapatan
Menggunakan resipi usahawan pempengaruh media sosial Khairul Amin Kamarulzaman– yang lebih dikenali sebagai Khairul Aming – seorang suri rumah tidak menyangka dapat menjana sumber pendapatan sampingan buat dirinya.
Hazwani Hamdan, 36, berkata beliau berminat untuk mencuba resipi yang dikongsikan oleh Khairul Aming di media sosial kerana ia mudah disediakan dan tampak menyelerakan.
Bernama melaporkan, ibu kepada tiga cahaya mata itu pada awalnya hanya mencuba menu tersebut untuk dihidangkan kepada keluarga, namun tidak menyangka ia menarik perhatian rakan-rakan dan kenalan selepas beliau memuat naik gambar di aplikasi WhatsApp.

Hazwani menyediakan 40 pek ayam sos plum untuk dijual. (kredit foto: Bernama)
"Resipi pertama yang saya cuba ialah ayam sos plum. Awalnya masak suka-suka untuk keluarga tetapi tak sangka lepas kongsi gambar di WhatsApp, ramai pula yang tanya untuk tempahan.
"Setelah mendapat persetujuan suami saya mula buka tempahan pada 1 Ramadan lalu. Alhamdulillah... sambutan diterima daripada kawan-kawan dan komuniti setempat menggalakkan," katanya.
Buat masa ini, Hazwani berkata tempahan dihadkan sebanyak 40 pek sehari bagi dua jenis hidangan sahaja kerana kesuntukan masa dan tenaga kerja.

Hazwani turut membuat puding karamel Khairul Aming yang tular di media sosial. (kredit foto: Bernama)
Walaupun pendapatan daripada jualan itu tidak seberapa, beliau berkata ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian dan persiapan raya pada bulan hadapan.
"Saya juga sangat teruja apabila video masakan ayam sos plum yang dimuat naik di media sosial meraih tontonan hampir satu juta.
"Ini menguatkan lagi semangat saya untuk berusaha dengan lebih gigih dan mungkin boleh menjadi seperti Khairul Aming suatu hari nanti...insya-Allah," katanya.
Waktu Solat


27 Feb 2026
Waktu solat berikutnya,
Syuruk
pada
07:24












