Mar 10, 2023 3PM
RHB Islamic & PPZ-MAIWP taja pengajian pelajar asnaf UM
KUALA LUMPUR, 8 MAC 2023: RHB Islamic Bank Berhad (“RHB Islamic” atau “RHB”) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (“PPZ-MAIWP”) dan Universiti Malaya hari ini menyerahkan sumbangan tajaan yuran pengajian kepada 10 pelajar asnaf Universiti Malaya (“UM”) bernilai RM5,000 dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM50,000.
Majlis yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Dato’ Adissadikin Ali ini merupakan kerjasama strategik antara PPZ-MAIWP bersama para pembayar zakat RHB melalui Kempen Pelanggan Mewah RHB bagi menyantuni pelajar-pelajar asnaf di UM.
Sumbangan ini merupakan kesinambungan daripada Kempen Pelanggan Mewah Kumpulan Perbankan RHB yang diadakan pada tahun 2022, di mana pembayar zakat dari kalangan pelanggan dan kakitangan RHB mengambil bahagian dalam Skim Wakalah (pengembalian semula wang zakat) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP Encik Mohammed Hassan, PPZ-MAIWP menawarkan Skim Wakalah atau pengembalian semula sehingga 50% kepada individu yang menunaikan zakat serendah RM20,000 hingga RM1 juta setahun di PPZ-MAIWP.
“Melalui Skim Wakalah ini para pembayar zakat boleh mengambil kembali bahagian wang zakat yang ditunaikan untuk diagihkan sendiri kepada asnaf dan mereka yang berkemampuan,” katanya.
PPZ-MAIWP turut menawarkan kerjasama-kerjasama strategik bagi membantu menguruskan dana wakalah pembayar zakat melalui program-program turun padang yang diadakan.
“Pihak RHB Islamic mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembayar zakat yang menyertai inisiatif “Pakej Khas untuk Pembayar Zakat di Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan” yang dilancarkan pada September 2022 oleh RHB Islamic. Pada tahun ini, lebih daripada RM100,000 Zakat Wakalah telah berjaya dikumpulkan di bawah Pakej Khas ini. Kami berharap agar dapat terus bekerjasama lagi untuk mengembangkan inisiatif-inisiatif berimpak tinggi, melalui pelbagai mekanisma zakat serta instrument kewangan sosial Islam yang lain di masa hadapan” kata Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan, RHB Islamic Bank Berhad.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor.
Waktu Solat


02 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:13

