Jan 29, 2026 4PM
Zahid garis lima inisiatif strategik perkasa industri halal negara
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima inisiatif strategik bertujuan memperkasa industri halal negara sekali gus melonjakkan Malaysia sebagai Hab Halal Global yang berdaya saing.
Susulan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) yang berlangsung pada hari ini, beliau berkata inisiatif tersebut termasuk membangunkan Pelabuhan Mesra Halal pertama negara di Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Menurutnya, langkah itu dijangka menjana nilai ekonomi besar dan menghasilkan ribuan peluang pekerjaan dalam jangka panjang lalu memperkukuh rantaian logistik halal, meningkatkan kebolehkesanan dan meningkatkan eksport halal Malaysia di peringkat serantau dan global.
Tambah Ahmad Zahid, lima inisiatif tersebut turut tertumpu kepada isu akses pembiayaan industri halal khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Saya menekankan keperluan penyelarasan yang lebih kukuh antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan institusi kewangan agar sokongan pembiayaan dapat disalurkan dengan lebih inklusif dan berkesan,” katanya dalam sebuah hantaran di Facebook.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) yang berlangsung pada hari ini. (kredit foto: Facebook Zahid Hamidi)
Selain itu, Pengerusi MPIH itu juga berkata penyelarasan standard dan pengiktirafan dalam sektor pelancongan akan dilaksanakan bagi memperkukuh peranan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim, selaras dengan prestasi positif pelancongan Islam yang terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.
Pada masa sama, Ahmad Zahid mengalu-alukan pendekatan proaktif oleh Kerajaan Negeri dalam membangunkan pelan industri halal masing-masing dengan memperkukuh tadbir urus taman industri halal dan menarik pelaburan strategik.
“Pendekatan seimbang antara (kerajaan) persekutuan dan (kerajaan) negeri ini penting bagi memastikan pembangunan industri halal yang mampan dan menyeluruh.
“Dengan komitmen bersepadu semua pihak, industri halal Malaysia akan terus diperkasa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan simbol keyakinan global terhadap keupayaan negara,” katanya.
Waktu Solat


31 Jan 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:51















