Aug 15, 2024 10AM
Pembangunan Halal dan Sektor Perhotelan Bergabung, Merancakkan Industri
Sumber foto dari Facebook HDC
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) — Halal Development Corporation (HDC) serta The Malaysian Association of Hotels Training and Education Center (MAHTEC) telah menandatangani memorandum perjanjian (MOA) untuk meningkatkan ekosistem halal negara dengan mengintegrasikan industri hotel ke dalam inisiatif pembangunan halal yang lebih luas.
Ini akan dilakukan dengan melibatkan pemain sektor perhotelan untuk aktif menyertai ekosistem halal Malaysia yang berkembang, kata HDC.
“Kolaborasi ini diharapkan dapat membuahkan beberapa hasil utama, termasuk penubuhan kumpulan bakat halal yang mencukupi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor perhotelan Malaysia.
“Inisiatif ini juga akan menumpukan pada peningkatan kemahiran dan latihan semula bakat tempatan, mempersiapkan Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam pembangunan bakat halal dan perhotelan mesra Muslim,” kata Ketua Pengawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari.
HDC dan MAHTEC akan bersama-sama menawarkan program latihan industri halal yang komprehensif untuk melengkapkan ahli profesional perhotelan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam sektor halal.
“Program latihan ini akan meliputi tiga komponen utama iaitu Asas Industri Halal dan Pensijilan Halal Malaysia, Program Latihan Kompetensi Halal, dan Program Eksekutif Halal Bertauliah (CHEP),” tambah Hairol.
Melalui program latihan ini, HDC dan MAHTEC berkolaborasi untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang dalam industri halal, serta menyasar kumpulan sasaran baru dan sedia ada dalam industri perhotelan.
Sumber foto dari Facebook HDC
“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk ‘Tahun Melawat Malaysia 2025’, yang akan menyumbang lagi kepada produk pembangunan Malaysia dan meletakkan negara ini sebagai destinasi utama untuk perhotelan mesra Muslim,” katanya.
Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun, menyatakan bahawa kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam inisiatif Pelan Induk Industri Halal 2030, mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam ekonomi halal global dan pelancongan mesra Muslim.
Sumber: Bernama
Ingin menampilkan siaran akhbar, temu bual eksklusif, atau kandungan berjenama anda di Kinihalal & Malaysiakini? Email kami di [email protected]
Sertai komuniti Halal kami untuk mendapatkan berita dan acara terkini.
Ikuti Kinihalal di: Facebook, LinkedIn, Instagram, dan TikTok.
Waktu Solat
22 May 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:23

