Back To Halal News

Jul 31, 2024 4AM

Hairol : ‘ HDC Mahu Tingkat Bilangan Pakar Halal Malaysia’

Sumber foto dari New Straits Times

 

IPOH: Malaysia bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan negara-negara lain bagi membangunkan ekosistem halal yang kukuh dan secara kolektif memanfaatkan peluang ekonomi ini.

 

Ketua Pengawai Eksekutif Halal Development Corporation Bhd (HDC) Hairol Ariffein Sahari berkata bahawa kerajaan telah memberikan mandat kepada HDC untuk bertindak sebagai penyelaras utama pembangunan ekosistem halal di Malaysia.

 

Ketua Pengawai Eksekutif Halal Development Corporation Bhd (HDC) Hairol Ariffein Sahari.

Sumber foto dari HDC

 

“Peranan kami adalah untuk memudahkan penyertaan pemain industri ke dalam ekonomi halal. Kami bertujuan untuk mencapai tiga objektif utama.

 

“Pertama, untuk meningkatkan bilangan pakar halal Malaysia; kedua, untuk meningkatkan pelaburan langsung di taman industri halal kami; dan ketiga, untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia dalam salah satu sektor yang berkembang pesat di dunia,” katanya semasa forum bertajuk “Building Tomorrow: The Halal Economy—Malaysia’s Leading Role in Building a Robust and Sustainable Ecosystem”. 

 

Forum tersebut diadakan bersempena dengan World Conference on Islamic Thought and Civilisation (WCIT2024) ke-7 di Hotel Casuarina, Meru. Hairol merupakan salah seorang panelis, dan forum ini dikendalikan oleh pakar perunding dan penasihat HDC, Dhaliff Anuar.

 

Sumber foto dari WCIT 2024

 

“Kira-kira 15 tahun yang lalu, ketika saya menyertai organisasi ini, saya melawat beberapa buah negara, dan hanya segelintir sahaja yang memahami halal dari perspektif pembangunan ekonomi.

 

“Walau bagaimanapun, melalui aktiviti promosi yang giat dilakukan oleh HDC dan agensi-agensi lain, saya kini dengan yakin mengatakan bahawa seluruh dunia telah mula membincangkan pembangunan ekonomi halal. Menarik untuk lihat negara-negara seperti Uruguay, Peru, Brazil, Jepun, dan Korea datang ke HDC untuk mempelajari bagaimana Malaysia membangunkan ekosistem halalnya,” tambahnya.

 

Beliau berkata bahawa menurut laporan, pasaran halal global dianggarkan bernilai sekitar US$3 trilion, dan berdasarkan ramalan HDC, ia dijangka berkembang kepada US$5 trilion menjelang tahun 2030.

 

“Kami sedar bahawa ekonomi halal di seluruh dunia bukanlah persaingan, tetapi satu bidang di mana kita perlu cemerlang melalui rantaian bekalan,” katanya, sambil menyatakan bahawa kerajaan telah memperkenalkan inisiatif untuk kerjasama dan kolaborasi yang lebih besar, dikenali sebagai “diplomasi halal”.

 

Beliau berkata diplomasi halal ini bertujuan untuk mengantarabangsakan ekonomi halal dengan menghubungkan ekosistem halal Malaysia dengan seluruh dunia.

 

“Sudah tentu, akan ada perbezaan dalam ekosistem, tetapi melalui perkongsian pengetahuan dan kepakaran dari HDC, kami berharap dapat menghubungkan ekosistem-ekosistem ini dan menguruskan jurang penawaran dan permintaan, serta menyelesaikan gangguan dalam rantaian bekalan, yang merupakan isu utama dalam pembangunan ekonomi halal.

 

“Kami sangat aktif dalam menyediakan latihan dan perundingan halal, baik di peringkat kerajaan-ke-kerajaan mahupun perniagaan-ke-perniagaan. Kami sedia berkongsi kepakaran kami dengan mereka yang berminat untuk membangunkan ekosistem halal mereka,” tambahnya.

 

Seorang lagi panelis, Ketua Pegawai Eksekutif (Komersial) Duopharma Biotech Bhd, Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid, berkata bahawa kesedaran umat Islam tentang kepentingan mendapatkan ubat-ubatan dan suplemen dengan pensijilan halal masih rendah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (Komersial) Duopharma Biotech Bhd, Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid

Sumber foto dari DuoPharma Biotech Bhd 

 

Beliau berkata bahawa pemain industri perubatan halal perlu berusaha untuk meningkatkan kesedaran pada peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

 

Beliau berkata penubuhan standard farmaseutikal halal MS2424, merupakan langkah penting bagi negara dalam memimpin industri di peringkat global.

 

“Sebelum ini, beberapa produk farmaseutikal di pasaran tidak mempunyai pensijilan halal kerana mengandungi bahan-bahan yang berasal daripada babi.

 

“Kami kini sedang mencari sumber alternatif untuk bahan-bahan ini dalam pengeluaran ubat, termasuk melalui kaedah sintetik.

 

“Dengan kemajuan teknologi, industri perubatan dapat memastikan bahawa produk-produk bebas daripada unsur babi atau pencemar tertentu.”

 

Beliau berkata sektor halal adalah industri besar dengan kepentingan antarabangsa dan mencadangkan pembangunan taman industri yang khusus untuk sektor tersebut di seluruh negara, termasuk Perak, untuk mempamerkan kekuatan tempatan.

 

Sumber: New Straits Times

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
lantern

22 May 2026

Waktu solat berikutnya,

Asr

pada

16:23

lantern
Imsak

Imsak

05:54:00

Fajr

Fajr

06:04:00

Syuruk

Syuruk

07:11:00

Dhuhr

Dhuhr

13:19:00

Asr

Asr

16:23:00

Maghrib

Maghrib

19:23:00

Isha

Isha

20:32:00

quran

Channel Partners