Apr 14, 2025 5PM
Bina masjid berlandaskan niat dan penghayatan Islam, bukan bermegah tunjuk kehebatan
Pembinaan masjid mesti berlandaskan niat dan penghayatan islam yang betul, bukan untuk menunjukkan kehebatan dan kemegahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Beliau berkata, masjid yang dibangunkan berpandukan landasan yang baik dan tepat akan menguatkan keimanan serta ketaqwaan umat Islam menyatupadukan masyarakat di negara ini.
“Mendirikan masjid tanggungjawab semua. Ia menjadi markas kita belajar solat, menunaikan zakat dan belajar asas agama. Institusi islam itu mesti dikaitkan dengan bantuan dan keprihatinan kepada masyarakat.
“Al-Quran ada menyebut, ada masjid diasaskan kerana ketakwaan kepada Allah SWT, nilainya murni, membawa perpaduan dalam masyarakat, memahat keimanan, menjaga masyarakat dan bukan untuk menunjuk kehebatan dan kemegahan.
Anwar dapatkan gambaran wajah baru Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, Bukit Mertajam selepas siap pembinaan semula (kredit foto: FB Masjid Jamek Cerok Tok Kun Bawah)
“Tetapi kalau niatnya (pembinaan masjid) tidak betul, perjalanannya tidak membawa penghayatan Islam serta kefahaman yang baik, maka masjid itu boleh menjadi tempat kerosakan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata sedemikian ketika menghadirkan diri ke Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, baru-baru ini.
Kehadiran beliau diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Menurut Anwar lagi, masjid hendaklah dijiwai dan dijadikan sebagai medan pembinaan takwa khususnya dalam kalangan pemimpin yang sering diuji dengan tabiat buruk misalnya tamak haloba dan rasuah.
Wang yang disumbangkan diharap dapat membantu menambah baik fasiliti dan infrastruktur masjid yang terlibat (kredit foto: FB Masjid Jamek Cerok Tok Kun Bawah)
Beliau juga menyentuh cabaran ketika memimpin apabila terdapat individu yang acapkali melampaui batas selepas mendapat amanah dan kuasa.
Beliau menegaskan mandat untuk memimpin yang diberikan oleh rakyat atas dasar percaya harus dibalas dengan amanah, kejujuran dan kesederhanaan, bukan dengan menindas dan menyeleweng harta rakyat.
Anwar berkata jika seseorang pemimpin itu diberi amanah, ia adalah tanggungjawab dan bukan lesen untuk mereka mengambil kesempatan hingga menjadi tamak dan hilang arah serta akhlak.
“Percayalah, kita nak jadikan Kerajaan MADANI ini perubahan yang sebaiknya. Kita betul-betul buat sedaya upaya. Yang orang nak mengata, maki hamun, tak apa, itu kerja mereka. Tapi percayalah, saya syukur berlatih di sini, belajar khutbah dan perjuangan di sini,” katanya.
Waktu Solat


19 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:20

