Apr 07, 2025 4PM
Gereja bergema dengan takbir raya, jadi penyatu dua aliran agama
Halaman Gereja Katolik Paroki Hati Kudus Yesus, di Malang, Jawa Timur, Indonesia dibuka seluas-luasnya untuk umat Islam menunaikan solat Aidilfitri pada 31 Mac lalu.
Ketika takbir bergema, ruang gereja itu menjadi tempat suci bagi ribuan Muslim menzahirkan kesyukuran selepas sebulan berpuasa.
Ini menandakan, perayaan itu bukan sekadar sambutan agama Islam semata-mata sebaliknya, menjadi perayaan bersifat terangkum yang turut dirai dan dihargai oleh masyarakat bukan Islam, khususnya penganut Katolik.
Jemaah solat sunat Aidilfitri mendirikan saf dengan memenuhi halaman di luar gereja pada pagi Syawal (kredit foto: Instagram permadiaktivis2)
Walaupun berbeza aliran agama, gereja yang berusia 128 tahun itu telah menjadi tempat suci buat Muslim untuk beribadah setiap tahun, selain menjadi pusat penyatuan komuniti antara umat Islam dan penganut agama Kristian.
Setiausaha Suruhanjaya Hubungan Antara Agama dan Kepercayaan, Aloys Budi Purnomo berkata, soal keterbukaan gereja itu untuk menerima kedatangan umat Islam ke halamannya adalah bersandarkan pada hati yang terbuka, bukan ruang.
“Aidilfitri adalah detik mendalam kerana ia menyentuh nilai kemanusiaan sejagat seperti kemaafan, kasih sayang, dan perpaduan,” katanya seperti dipetik Berita Harian Singapura.
Setiap tahun menjadi tradisi buat gereja katolik itu untuk mengalu-alukan kedatangan umat Islam ke perkarangannya bagi tujuan ibadah (kredit foto: Instagram permadiaktivis2)
Pada masa sama, Masjid Jamik di Mentok, Bangka Barat turut menyaksikan perpaduan berbilang agama apabila pasukan polis dalam kalangan pemuda katolik daerah itu bersama-sama mengawasi keselamatan umat Islam yang sedang beribadah di masjid itu.
Kumpulan pemuda katolik itu juga bekerjasama dengan masyarakat Batak Kristian bagi mewujudkan suasana tenang dan selamat untuk jemaah Muslim menunaikan ibadah sunat Aidilfitri.
Pegawai polis tempat peranginan di Bangka Barat, Iptu Januardi berkata, usaha itu menunjukkan sebuah pelaksanaan semangat toleransi antara umat yang beragama.
“Kegiatan ini menunjukkan keharmonian bersama dan penyatuan kita, yang saling menghormati dan menjaga kedamaian meskipun mempunyai perbezaan,” katanya.
-- BERITA HARIAN SINGAPURA
Waktu Solat


18 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:28

