Aug 06, 2026 4AM
Bagaimana R&R PLUS memperkasa PMKS tempatan
R&R PLUS kini bukan lagi sekadar lokasi rehat dan rawat, namun berkembang menjadi platform pembangunan Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera dalam usaha merancakkan ekonomi komuniti setempat di sepanjang jajaran lebuh raya.
Usaha itu dicerminkan oleh inisiatif PLUS, Program Insentif Pembangunan Rakan Niaga (BPIP) bertujuan memperkasakan pembangunan ekonomi komuniti di sepanjang jajaran lebuh raya selain selari dengan inisiatif Kementerian Ekonomi iaitu Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Ketua Pegawai Komersial (CCO) PLUS Malaysia Berhad, Mohd Fauzi Puniran berkata, susulan pelaksanaan program itu, PMKS Bumiputera merekodkan penjualan lebih RM350 juta di R&R PLUS tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding tiga tahun sebelumnya.
Pencapaian itu, menurutnya, membuktikan potensi PMKS tempatan untuk terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi setempat apabila diberikan sokongan serta peluang yang sewajarnya.
Jelasnya, BPIP dan PuTERA35 memperkasa bumiputera melalui tiga teras utama iaitu pembangunan usahawan, pematuhan kepada piawaian agensi dan kementerian, serta penerapan teknologi dalam perniagaan.

“Bagi tonggak pertama, kami dan pelbagai agensi kerajaan seperti INSKEN dan Bank Negara Malaysia melatih PMKS bagaimana untuk menguruskan perniagaan, kewangan dan daripada sekarang, berkembang dah muncul sebagai juara dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
“Kedua, kami bantu PMKS dari segi pematuhan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh agensi dan kementerian berlainan. Ini meliputi standard operasi perniagaan, kualiti produk disediakan, kebajikan pekerja, dan pensijilan halal.
“Tonggak ketiga adalah penerapan teknologi seperti pembayaran tanpa tunai dan Point of Sale (POS) yang memudahkan kami dan PMKS untuk memantau serta menganalisis prestasi perniagaan supaya mereka boleh menilai keperluan pengunjung dari semasa ke semasa lalu meningkatkan tahap produk dan perkhidmatan ditawarkan,” katanya.
Melalui inisiatif itu, Fauzi menzahirkan harapan agar penarju PMKS Bumiputera dapat diwujudkan bagi memacu industri sektor F&B tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
Antara contoh kejayaan jenama tempatan yang telah menempa nama di persada antarabangsa seperti Pak Tam dan Harold’s Bread, yang pada awalnya memulakan perniagaan di lebuh raya.

Kini, beliau berkata Pak Tam telah melebarkan sayap dengan pembukaan sebuah cawangan di Madinah, manakala Harold’s Bread memperluas perniagaan ke Thailand, sekali gus membuktikan pengusaha tempatan sebenarnya mempunyai tempat di pasaran dunia.
Tambah beliau, pencapaian itu juga mendorong PLUS untuk merangka sebuah pembangunan baharu yang dikenali sebagai Hab SME di kawasan hentian sebelah berpotensi, iaitu Ladang Bikam dan Taiping di Utara manakala Yong Peng dan Tangkak di Selatan.
Mengulas lanjut, Fauzi berkata projek itu bakal mewujudkan lebih daripada 40,000 kaki persegi Keluasan Bersih Boleh Sewa (NLA) bagi pengusaha PMKS F&B dan runcit yang berpotensi membuka lebih banyak cawangan perniagaan.
Buat masa ini, beliau memaklumkan Hab SME berada dalam fasa reka bentuk, dan dalam rancangan untuk memulakan pembinaan pada tahun hadapan sehingga tahun 2028.
Jelas beliau, usaha itu bukan sahaja membolehkan PMKS untuk meningkatkan pendapatan, namun menambah keupayaan mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan buat penduduk setempat.

Setakat ini, Fauzi berkata PLUS mempunyai 3,000 pekerja yang bekerja di lebih 650 premis perniagaan sepanjang lebuh raya, dengan sebahagian besar tenaga kerja adalah tenaga kerja Bumiputera.
Melalui Hab SME, beliau berharap agar lebih banyak peluang pekerjaan disediakan dan menjadi inspirasi buat pekerja-pekerja tersebut untuk turut menubuhkan perniagaan sendiri bersama PLUS selepas menimba pengalaman secukupnya.
Pekerja yang beralih menjadi pengusaha itu, menurut beliau, akan menggaji penduduk lain untuk menjadi kakitangan mereka, lalu membentuk kitaran perkembangan yang berimpak tinggi buat ekonomi setempat.
“Jika mereka menepati syarat dan ketetapan yang kami gariskan, kami juga berbesar hati untuk memberi peluang kepada mereka untuk berniaga.
“Kami mahu mempertingkatkan taraf jenama tempatan ke peringkat yang lebih tinggi, dengan mencalonkan mereka untuk program-program keusahawanan Bumiputera Khazanah dan badan-badan kerajaan tertentu.

“Secara tidak langsung, mereka akan berasa bangga akan sumbangan perniagaan mereka dalam ekonomi Malaysia dan setempat kerana mereka tidak hanya menyediakan juadah, tetapi menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.
Setakat ini, Fauzi berkata, sebanyak 650 rakan niaga beroperasi di lebih 29 R&R dan 50 hentian sebelah dengan hampir 400 merupakan rakan niaga bumiputera.
Mengikut ketetapan Lembaga Lebuh Raya dan Kementerian Kerja Raya, sebanyak 70 peratus daripada kalangan peniaga lokal termasuk Bumiputera, manakalai 30 % dibuka kepada peniaga komersial.
Sejak penubuhannya 40 tahun lalu, peranan lebuh raya PLUS telah berevolusi daripada menghubungkan rakyat Malaysia untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, kini menjadi pemangkin pembangunan daerah bagi kawasan di sepanjang jajaran itu.
Usaha itu mencerminkan komitmen berterusan PLUS dalam memperkasa usahawan tempatan, memperkukuh ekonomi komuniti dan memastikan setiap R&R terus memberi nilai kepada pengguna serta masyarakat setempat.
Waktu Solat
06 Aug 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:23

