Jul 22, 2026 3AM
Program Save A Child’s Heart Maybank Islamic: Kisah harapan di sebalik setiap degupan jantung anak kecil
Setiap ibu bapa mengharapkan anak dilahirkan sihat dan membesar tanpa sebarang gangguan kesihatan.
Namun bagi sesetengah keluarga, perjalanan itu bermula dengan cabaran yang tidak dijangka apabila kehidupan si kecil bergantung kepada rawatan dan keputusan perubatan yang kritikal.
Bagi mereka, setiap degupan jantung anak bukan sekadar tanda kehidupan, tetapi menjadi sumber harapan yang memberi kekuatan kepada ibu bapa untuk terus berjuang.
Pada masa sama, setiap degupan itu hadir bersama perjalanan panjang dan penuh ketidakpastian dalam usaha memastikan anak mereka terus bernafas dan membesar seperti kanak-kanak lain.
Bagi Nur Amieza Mohamad Jaiz, 34, penantian selama lima tahun untuk menimang cahaya mata akhirnya berakhir dengan kelahiran anak lelaki yang amat dinantikan, Mior Muhammad Naiel.
Namun kegembiraan itu diuji apabila ketika kandungannya berusia 27 minggu, beliau dimaklumkan bahawa bayi yang dikandungnya menghidap penyakit jantung kongenital yang kompleks.
“Sepanjang kehamilan semuanya kelihatan normal. Apabila menerima berita itu, ia sangat sukar untuk kami terima,” katanya.
Naiel kemudiannya disahkan menghidap Tetralogy of Fallot (TOF) dengan Pulmonary Atresia dan Coronary Fistula, satu keadaan yang memerlukan rawatan pakar serta pemantauan berterusan sejak lahir.
Sejurus dilahirkan, Naiel ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sebelum dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
Perjalanan Naiel bukanlah mudah. Pada usia dua bulan, beliau menjalani prosedur catheterisation bagi menilai keadaan jantungnya. Ketika prosedur itu berlangsung, jantungnya terhenti seketika dan beliau terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). Beberapa bulan kemudian, Naiel sekali lagi menjalani pembedahan berisiko tinggi bagi membantu fungsi jantungnya.
Namun hari ini, selepas melalui pelbagai cabaran dan menerima bantuan menerusi Program Save A Child’s Heart Maybank Islamic, Naiel semakin membesar dengan lebih sihat. Senyumannya yang ceria menjadi simbol kekuatan seorang anak kecil yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Bagi keluarganya, setiap langkah kecil Naiel, setiap tawa yang kedengaran di rumah dan setiap hari yang dilalui adalah nikmat yang tidak ternilai.

Kisah hampir serupa turut dilalui Nur Alesya Mohamad Hazman, 16.
Selepas dilahirkan, Alesya disahkan menghidap Pulmonary Atresia dengan Ventricular Septal Defect (PAVSD), sejenis penyakit jantung kongenital yang memerlukan pembedahan dan rawatan berterusan.
Sepanjang membesar, beliau perlu melalui beberapa prosedur dan intervensi perubatan secara berperingkat bagi menyokong perkembangan serta membantu pemulihan keadaan jantungnya.
Februari lalu menjadi antara detik paling mencemaskan buat keluarganya apabila Alesya menjalani satu lagi pembedahan besar dan berdepan komplikasi serius akibat kehilangan darah yang banyak.
Namun berkat usaha pasukan perubatan dan ketabahannya, beliau berjaya distabilkan dan melalui proses pemulihan dengan baik.
Perjalanan rawatan Alesya turut mendapat sokongan melalui dana Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) pada 2022 dan sekali lagi pada 2026, satu kesinambungan bantuan yang memberi peluang kepadanya untuk menerima rawatan diperlukan pada masa yang tepat.
Bagi ibunya, setiap bantuan yang diterima bukan sekadar meringankan beban kewangan, malah memberi harapan dan ruang kepada Alesya untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Hari ini, Alesya sudah kembali ke sekolah dan menjalani kehidupan sebagai seorang remaja. Walaupun masih memerlukan pemantauan kesihatan secara berkala, beliau kini mempunyai peluang untuk mengejar cita-cita dan menikmati kehidupan yang lebih normal seperti rakan-rakan seusianya.

Di sebalik kisah Naiel dan Alesya, terdapat satu persamaan yang menghubungkan mereka – peluang kedua untuk hidup hasil sokongan pelbagai pihak yang percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa.
Melalui Program Save A Child’s Heart, Maybank Islamic dengan kerjasama IJN Foundation membantu kanak-kanak daripada keluarga asnaf dan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan jantung diperlukan tanpa dibebani kos perubatan yang tinggi.
Program itu yang dimulakan pada 2012 telah memberi sinar harapan kepada ratusan keluarga yang berdepan cabaran penyakit jantung kongenital dalam kalangan anak-anak mereka. Dalam tempoh 14 tahun, Maybank Islamic telah menyumbang lebih RM5 juta dan membantu lebih 300 pesakit pediatrik menjalani pembedahan serta rawatan jantung kritikal.
Pada tahun 2025 sahaja, dana zakat Maybank Islamic sebanyak RM500,000 telah disalurkan, membolehkan 67 kanak-kanak daripada keluarga asnaf menerima rawatan yang menyelamatkan nyawa.
Bagi tahun 2026, Maybank Islamic meningkatkan lagi sumbangan untuk program ini kepada RM1 juta yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga 140 kanak-kanak yang memerlukan.
Melalui dana zakat yang disalurkan oleh Maybank Islamic menerusi Program Save A Child’s Heart, kanak-kanak daripada keluarga asnaf mendapat akses kepada rawatan kritikal yang sebelum ini mungkin berada di luar kemampuan mereka.
Ia menjadi manifestasi bagaimana kewangan Islam dapat diterjemahkan kepada impak sosial yang nyata dengan memelihara nyawa, mengurangkan beban keluarga dan membuka ruang kepada masa depan yang lebih baik, selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.
Lebih daripada sekadar bantuan kewangan, program itu mencerminkan bagaimana dana zakat boleh menjadi instrumen penting dalam memberi impak nyata kepada kehidupan masyarakat.
Dalam konteks ini, zakat bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, tetapi menjadi mekanisme pengagihan semula kekayaan yang mampu mengubah kehidupan golongan memerlukan.
Inisiatif itu juga selari dengan aspirasi Kumpulan Maybank melalui strategi ROAR30 yang memberi penekanan kepada penciptaan impak sosial bermakna dan inklusif. Di bawah misi Menginsankan Perkhidmatan Kewangan, kejayaan sesebuah institusi kewangan tidak hanya diukur melalui prestasi perniagaan, tetapi juga melalui keupayaannya meningkatkan kesejahteraan masyarakat yang memerlukan.
Bagi Maybank Islamic, setiap sumbangan zakat bukan sekadar angka dalam laporan tahunan, tetapi satu usaha yang membawa makna besar kepada kehidupan sebenar penerima manfaatnya.
Ketika ramai antara kita menjalani rutin harian tanpa memikirkan degupan jantung yang bekerja tanpa henti, masih terdapat keluarga yang berjuang setiap hari untuk memastikan degupan kecil itu terus bertahan.
Kisah Naiel dan Alesya mengingatkan bahawa di sebalik setiap sumbangan, terdapat kehidupan yang berubah. Di sebalik setiap bantuan, terdapat impian yang kembali bernyawa, dan di sebalik setiap degupan jantung yang berjaya diselamatkan, terdapat harapan baharu untuk masa depan yang lebih baik.
Bagi kedua-dua keluarga ini, masa depan kini kelihatan lebih cerah. Tiada hadiah yang lebih berharga daripada peluang untuk terus hidup. Melalui Program Save A Child’s Heart, peluang itu terus diberikan kepada mereka yang paling memerlukan.
Harapan terbesar program ini bukan sekadar melihat lebih ramai kanak-kanak berpeluang menikmati kehidupan lebih berkualiti, tetapi juga membina masyarakat yang tidak membiarkan sesiapa berjuang sendirian.
Ketika kos rawatan dan cabaran kehidupan semakin meningkat, inisiatif seperti Save A Child’s Heart membuktikan bahawa semangat kebersamaan mampu menjadi penyelamat kepada mereka yang memerlukan.
Di sebalik setiap nyawa yang diselamatkan, tersimpan satu mesej yang kekal – harapan masih wujud dan ia boleh bermula dengan satu peluang.
Waktu Solat
22 Jul 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:23

