Jul 08, 2026 6AM
Infak Berendoi MAINS permudah ibu bapa tunaikan sunnah kelahiran bayi
SEREMBAN: Amalan sunnah mencukur rambut bayi yang baharu dilahirkan serta bersedekah mengikut nilai timbangannya semakin mendapat perhatian masyarakat menerusi perkhidmatan Infak Berendoi yang disediakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Wakaf, Jabatan Wakaf dan Mal MAINS, Ustaz Ahmad Naim Azlan, walaupun jenama Infak Berendoi secara rasmi diperkenalkan pada tahun 2022, perkhidmatan berkaitan amalan tersebut sebenarnya telah lama disediakan sejak era Pusat Zakat Negeri Sembilan.
“Sejak dahulu lagi, ramai ibu bapa datang ke kaunter zakat untuk menimbang rambut bayi selepas dicukur. Oleh sebab kaunter mempunyai mesin penimbang emas, petugas akan membantu mengira nilai sedekah berdasarkan harga emas semasa,” katanya dalam satu temu bual bersama Kinihalal.
Beliau berkata, penstrukturan semula MAINS pada tahun 2021 yang menyaksikan penggabungan beberapa entiti seperti Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), Baitulmal MAINS dan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan membuka ruang kepada penambahbaikan pelbagai perkhidmatan.
Menurut Ustaz Ahmad Naim, sebelum ini orang ramai hanya mendapatkan khidmat menimbang rambut bayi dan mengetahui nilai sedekah yang perlu diberikan, namun tiada kemudahan untuk terus membuat bayaran di kaunter.
“Kami melihat ada ruang untuk memudahkan masyarakat. Kini ibu bapa boleh hadir mendapatkan konsultasi, menimbang rambut bayi dan terus membuat bayaran infak di kaunter pada hari yang sama. Prosesnya menjadi lebih mudah dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan secara rasmi, sambutan terhadap Infak Berendoi terus menunjukkan peningkatan.
“Kesedaran masyarakat semakin tinggi. Permintaan bertambah dari semasa ke semasa kerana ramai ibu bapa mahu melaksanakan sunnah ini dengan cara yang lebih mudah,” katanya.
Selain pembayaran di kaunter, Ustaz Ahmad Naim berkata orang ramai kini turut boleh membuat Infak Berendoi secara dalam talian melalui platform MAINS, termasuk mereka yang berada di luar Negeri Sembilan.
Malah, katanya, ibu bapa yang tidak sempat melaksanakan amalan tersebut ketika anak masih bayi juga masih boleh berbuat demikian.
“Walaupun anak sudah dewasa, mereka masih boleh berinfak dengan mengambil kira nilai semasa sebagai tanda menunaikan sunnah dan kesyukuran,” jelas beliau.
Berbeza daripada zakat dan wakaf
Mengulas mengenai konsep infak, Ustaz Ahmad Naim tidak menafikan bahawa masyarakat masih ada yang keliru mengenai perbezaan antara zakat, wakaf dan infak, sedangkan ketiga-tiganya mempunyai fungsi yang berbeza dalam Islam.
“Zakat ialah ibadah wajib yang agihannya terhad kepada lapan golongan asnaf sebagaimana ditetapkan syarak. Wakaf pula merupakan amalan sunat yang tertakluk kepada niat dan syarat yang ditetapkan oleh pewakaf,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sifat infak yang lebih fleksibel membolehkan MAINS menyalurkan bantuan kepada lebih ramai penerima mengikut keperluan semasa tanpa terikat kepada kategori tertentu seperti zakat.
Dana disalur kepada pelbagai sektor kebajikan

Menurut MAINS, dana Infak Berendoi disalurkan kepada pelbagai program kebajikan termasuk meningkatkan taraf sektor kesihatan, membantu pelajar dan institusi pendidikan, rumah kebajikan serta anak yatim, bantuan kepada mereka yang terputus bekalan, bantuan bencana alam dan pelbagai keperluan lain yang dinilai layak.
“Agihan dana untuk infak lebih luas. Ia adalah amalan sunat dan boleh disalurkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan, termasuk bukan Islam jika melibatkan bantuan kemanusiaan atau bencana,” ujar Ustaz Ahmad Nam.
“Sebagai contoh, apabila berlaku banjir, dana infak boleh digunakan untuk membantu semua mangsa tanpa mengira agama. Di situlah nilai ihsan dan dakwah dalam Islam dapat dizahirkan,” katanya.
Beliau berkata, amalan Infak Berendoi juga melambangkan rasa syukur ibu bapa atas kelahiran cahaya mata, selari dengan sunnah memberi nama, mencukur rambut dan melaksanakan akikah pada hari ketujuh kelahiran.
“Ia bukan sekadar satu ibadah, tetapi juga simbol kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki memperoleh zuriat,” katanya.
Selain Infak Berendoi, MAINS turut memperkenalkan Dana Infak Masjid Negeri Sembilan (IMAN9) pada penghujung tahun lalu bagi memperkukuhkan kutipan infak secara lebih tersusun untuk memakmurkan 314 buah masjid berdaftar di seluruh Negeri Sembilan.
Orang ramai yang ingin melaksanakan Infak Berendoi atau membuat infak umum boleh hadir ke mana-mana kaunter MAINS di daerah dan cawangan berhampiran atau menggunakan kemudahan pembayaran dalam talian yang disediakan oleh MAINS seperti:
- Laman Web Rasmi: Layari Portal Rasmi MAINS untuk maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan pengurusan zakat dan infak.
- Platform Pembayaran: Orang ramai juga boleh menyemak transaksi atau membuat sumbangan melalui InfaqPay MAINS.
Waktu Solat
08 Jul 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:23

