Mar 18, 2026 12PM
Debaran Syawal, Jumaat atau Sabtu?
Persoalan sama ada Aidilfitri jatuh pada Jumaat atau Sabtu semakin hangat diperkatakan, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan masyarakat.
Spekulasi mengenai kemungkinan “raya terkejut” terus hangat diperkatakan, apabila ramai tertanya-tanya sama ada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan menetapkan sambutan pada Jumaat atau Sabtu.
Dalam suasana penuh debar, perhatian kini tertumpu kepada proses cerapan anak bulan Syawal esok yang bakal merungkai persoalan sekali gus menentukan bermulanya 1 Syawal.
Spekulasi itu sebelum ini dipacu beberapa petunjuk, termasuk cuti tambahan Jumaat dan diskaun tol dua hari yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di platform X menambah hangat perbincangan apabila beliau menyebut kemungkinan 1 Syawal jatuh pada Jumaat.

Perhatian kini tertumpu kepada proses cerapan anak bulan Syawal esok yang bakal merungkai persoalan sekali gus menentukan bermulanya 1 Syawal
“Jika melihat kepada kriteria lama sebelum diubah, tidak mustahil Jumaat ini 1 Syawal. Mungkinkah peristiwa 2022 berulang semula?” katanya.
Perubahan paparan kalendar Google yang menunjukkan 1 Syawal pada Jumaat berbanding Sabtu sebelum ini turut menghangatkan perbincangan dalam kalangan warga siber, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi.
Untuk rekod, Australia dan Emiriah Arab Bersatu antara negara terawal yang mengumumkan Aidilfitri akan disambut pada 20 Mac.
Perkongsian di Threads turut mencuri perhatian apabila seorang pengguna mengaitkannya dengan situasi di Malaysia, “Australia raya Jumaat, 20 Mac 2026. Orang Malaysia jangan raya mengejut pula tahun ini,” katanya dipetik Bernama.
Di Facebook, ramai mengakui sudah bersedia untuk “raya terkejut”, termasuk Sharifah Aishah Syed Mohammed.
Seorang lagi pengguna, Nur Razinah Mohammad menyatakan tarikh bukan isu kerana beliau sudah pulang ke kampung, sementara pengguna lain terus berkongsi pelbagai hantaran mengenai spekulasi itu.
Dalam perkembangan sama, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan cerapan anak bulan Syawal akan dijalankan petang esok di 29 lokasi di seluruh negara, dengan pengumuman rasmi dibuat pada malam yang sama.
Waktu Solat
22 May 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:23

