Apr 30, 2025 4PM
'Jemaah haji perlu jaga Kad Nusuk sebaik-mungkin'
Jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci diingatkan agar sentiasa menjaga Kad Nusuk sebaik mungkin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kad berkenaan memiliki data peribadi termasuk pasport dan visa bagi membolehkan jemaah haji dikenali pasti secara mudah.
“Kad Nusuk ini kena jaga betul-betul sebab ia seperti MyKad kita. Ingat pesanan saya ini jaga kad ini macam kita jaga MyKad kita,” katanya.
Bahkan menurut beliau Kad Nusuk terbaru ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat bagi menjamin keselamatan pemegang kad berkenaan.
Jemaah haji harus menjaga Kad Nusuk sebaik mungkin kerana ia memiliki data peribadi termasuk pasport dan visa - kredit foto FB Datuk Setia Dr Naim
Katanya, ia telah ditambah baik kini dan dilengkapi dengan kod respons pantas (QR) bagi mengelak sebarang cubaan pemalsuan terhadap kad pengenalan rasmi jemaah haji.
“Maknanya, kalau ada sebarang usaha untuk buat salinan, ia agak sukar sebab dilengkapi beberapa lapisan keselamatan yang telah ditambah baik oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.
Mohd Na’im menitipkan pesanan itu kepada 284 jemaah haji yang berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1446H/2025M semalam.
Beliau berkata sejak Kad Nusuk yang berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri jemaah haji diperkenalkan tiga tahun lalu, ia membantu memudahkan jemaah haji dari seluruh dunia untuk memasuki Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah serta tempat-tempat ibadah haji lain ketika mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
“Kalau katakan jemaah haji Malaysia, dia nak masuk ke Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi, tanpa ada kad ini dia tak boleh masuk. Jadi dia kena bawa Kad Nusuk ini,” katanya seperti dilapor Bernama.
Berhubung penerbangan membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci musim ini, beliau berkata sebanyak 100 penerbangan sewa khas melalui syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan bermula hari ini manakala penerbangan terakhir pada 1 Jun.
“Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia ini dijangka tiba pada 7.50 pagi esok (waktu Arab Saudi) di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah,” katanya.
Kuota rasmi haji Malaysia diberikan kerajaan Arab Saudi pada tahun ini melibatkan 31,600 orang dan mereka akan tiba di tanah suci secara berperingkat.
Waktu Solat


02 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:43 (03 May 2025)

