Jun 03, 2025 5PM
Pakar UN gesa Israel beri laluan Freedom Flotilla menuju Gaza
Pakar Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menyeru laluan selamat diberikan kepada kapal Pakatan Freedom Flotilla yang berangkat dari Itali pada 1 Jun lalu, dan kini dalam perjalanan ke Gaza dengan membawa bantuan kemanusiaan.
Memetik Emirates News Agency (WAM), Bernama melaporkan kapal tersebut membawa bekalan perubatan, makanan dan barangan kanak-kanak ke negeri di Timur Tengah itu.
Antara pakar terlibat ialah Pelapor Khas UN bagi Hak untuk Makanan, Michael Fakhri dan Pelapor Khas bagi situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang dijajah, Francesca Albanese yang menekankan keperluan meruncing akan bantuan kemanusiaan di Gaza.
“WAM memaklumkan pakar-pakar UN itu meluahkan kebimbangan yang serius akan keselamatan penumpang kapal Freedom Flotilla susulan serangan berulang Israel terhadap pembela hak asasi manusia dan kedua-dua misi kemanusiaan UN serta orang awam.
Kedua-dua pelapor khas UN itu lantang mengecam pendudukan haram Israel di Palestin (kredit foto: Office of the High Commissioner, United Nations)
“Mereka mengungkit semula serangan dron terhadap kapal serupa yang dilancarkan oleh pakatan itu pada awal Mei di luar pantai Malta,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Michael dan Francesca menekankan bahawa Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa dan arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan tidak dihalang.
Pakar-pakar itu menggariskan langkah-langkah sementara yang dikeluarkan oleh ICJ pada Mac tahun lalu, selepas mengesahkan isu kebuluran dan kelaparan yang meluas di Gaza.
Pada masa sama, mereka mengecam bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang dengan menyatakan bahawa Yayasan Bantuan Gaza yang disokong oleh Amerika Syarikat (US) dan Israel menggunakan bantuan untuk memindahkan, mempersenda dan menahan orang awam.
Kedua-dua pelapor khas UN itu juga memetik jumlah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak yang membimbangkan, melebihi 80 peratus pada Mac tahun ini.
Waktu Solat


05 Jun 2025
Waktu solat berikutnya,
Isha
pada
20:39

