Nov 26, 2025 9AM
Halal Engage bantu 107 PKS ceburi pasaran halal tempatan
Halal Engage, inisiatif Public Islamic Bank Berhad (PIBB) yang dilancarkan pada Februari 2025 berhasil membantu 107 Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menceburi sektor halal, seterusnya mengembangkan perniagaan mereka.
Menurut Pengurus, Pemasaran dan Prestasi Jualan PIBB, Nur’atikah Salim berkata,
pencapaian itu menandakan semakin ramai usahawan mempunyai kesedaran berkaitan halal, pasarannya, dan apa yang diusahakan dengan perniagaan halal mereka.
“Sebanyak 107 PKS telah dibiayai melalui program Halal Engage, dengan 42 peratus daripada jumlah itu adalah pelanggan baharu Public Islamic Bank.
“Lebih menarik, Halal Engage adalah program yang inklusif di mana ia terbuka kepada semua usahawan yang mengusahakan perniagaan halal samada mereka sudah mempunyai sijil halal atau tidak.

Pengurus, Pemasaran dan Prestasi Jualan Public Islamic Bank, Nur’atikah Salim ketika sesi temu ramah eksklusif bersama Kinihalal.
“Sekiranya mereka sudah ada, kami akan bantu mereka mengembangkan lagi perniagaan namun jika mereka belum ada, kami akan bimbing mereka bersama-sama Halal Development Corporation (HDC) sehingga mereka mendapat sijil halal,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif tu merupakan penyelesaian komprehensif yang diadakan untuk memperkasa PKS dalam industri halal melalui sokongan pembiayaan yang lebih holistik bagi memudahkan urusan pensijilan halal terhadap sektor PKS.
Ia selari dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi, bahawa platform khusus untuk membantu PKS adalah inisiatif tambahan pihak bank di luar bidang kuasa perbankan agar proses mendapatkan sijil halal berjalan dengan lebih mudah dan cepat.
“Kami komited dalam menyokong pertumbuhan perniagaan berkaitan halal, untuk memacu kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal global,” kata beliau.

(dari kiri, hadapan) Editor Kinihalal, Rusyilda Ismail memeterai MOU bersama Public Islamic Bank untuk menjadi rakan media bagi program Halal Engage, lalu mengetengahkan PKS halal yang membangun.
Nur’atikah berkata, Halal Engage membantu banyak pengusaha industri berskala kecil dan sederhana menembusi pasaran halal tempatan dengan menawarkan pembiayaan kewangan dan khidmat nasihat, khususnya berkaitan pensijilan halal.
Buat masa ini, peserta program Halal Engage beroperasi dari pelbagai negeri dengan kebanyakan daripada mereka menjalankan perniagaan di Selangor, diikuti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Antara PKS yang turut serta dalam program itu adalah Q Bistro, Mat Rock dan Happy Fried Chicken yang mempunyai majoriti pelanggan Muslim di premis mereka.
Menerusi Halal Engage, Nur’atikah berkata mereka dibimbing oleh pakar industri bagi mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan berpeluang memasarkan perniagaan mereka melalui rakan strategik dan rakan media PIBB dan Kinihalal.

(Tiga dari kiri) CEO Public Bank Islamic, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi bersama CEO HDC, Hairol Ariffein Sahari (empat dari kiri) ketika Majlis Pemeteraian MOU antara kedua-dua organisasi tahun lalu.
Kinihalal adalah platform media yang giat mengetengahkan jenama-jenama diyakini halal serta membantu perjalanan mereka dalam industri bernilai RM12.7 trilion itu, sekaligus menjadi medan khusus untuk pengguna Muslim mendapatkan informasi halal terkini.
Antara inisiatif lain turut meliputi penglibatan PIBB dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 serta Program Bootcamp Usahawan Bumiputera Penang Halal International (PHI 2025 @ Penang) bagi memperkasa pengetahuan dan kesedaran pensijilan halal dalam kalangan PKS.
PIBB juga bekerjasama dengan HDC melalui Halal Integrated Platform (HIP) dalam inisiatif seperti Jelajah Halal Malaysia dan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia selain menyediakan produk serta perkhidmatan halal seperti perundingan, khidmat nasihat kewangan dan latihan perindustrian halal.
Kerjasama itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari, memperkukuh kepentingan dalam mencapai Pelan Induk Industri Halal 2030 yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi halal.
Bagi menyahut seruan itu, PIBB memperuntukkan komitmen sebanyak RM1.5 bilion bagi memacu perkembangan perniagaan halal di Malaysia.
Waktu Solat


28 Nov 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:01
















