Back To All

Dec 09, 2025 9PM

Industri halal rekod RM118.2 bilion KDNK sehingga suku ketiga 2025

Industri halal mencatatkan sumbangan sebanyak 7.94 peratus atau RM118.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan bilangan pengeksport halal berdaftar mencecah 1,525 syarikat sehingga suku ketiga 2025.


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, sasaran Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 adalah untuk meningkatkan nilai industri halal negara kepada RM231.1 bilion menjelang 2030, dengan eksport halal mencapai RM70 bilion dan sumbangan kepada KDNK sebanyak 10.8 peratus. 


“Bagi memperkukuh ekosistem halal, Malaysia telah membangunkan 14 taman halal di bawah status HALMAS yang berfungsi sebagai pusat pengeluaran, pemprosesan dan logistik halal.


“Taman-taman ini dilengkapi dengan infrastruktur bertaraf dunia, kemudahan pensijilan halal serta sokongan pelaburan yang berpaksikan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA). 


“Sehingga kini, pelaburan terkumpul di taman-taman halal ini berjumlah RM16.7 bilion, dan disasarkan meningkat kepada RM25 bilion menjelang 2030,” kata kementerian itu seperti dilapor oleh Bernama, hari ini.


Senator Hussin Ismail juga merangkap Pengasas dan Presiden Yayasan Amal Malaysia. (kredit foto: Malaysiakini)


MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Hussin Ismail berkaitan nilai pasaran makanan halal dan tidak halal serta usaha kerajaan dalam memperkasakan industri halal agar ia kekal berdaya saing di peringkat global.


Senator Baharuddin Ahmad turut mengemukakan soalan mengenai inisiatif kerajaan dalam memperkasa industri halal di Perlis agar ia menjadi hab halal antarabangsa seiring dengan lokasinya yang bersempadan dengan Thailand, menjadi pintu masuk produk halal ke pasaran ASEAN.


MITI berkata kerajaan menekankan kepentingan untuk mempromosi perdagangan dan pelaburan berkaitan produk halal khususnya di Perlis melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Kerjasama Rantau Antarabangsa seperti Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).


Kerjasama itu merangkumi program perkongsian kepakaran teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) mengenai pembangunan ekosistem halal dan pensijilan halal Malaysia.


CVIA terletak di timur laut Perlis dan bersempadan dengan selatan Thailand. (kredit foto: Kerajaan Negeri Perlis)


“Kerajaan turut mengutamakan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Infrastruktur merangkumi pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang menjadi pemangkin logistik halal serta perdagangan rentas sempadan,” katanya. 


Tambah kementerian itu, CVIA yang berkeluasan 2,468 ekar sedang dibangunkan sebagai taman perindustrian bersepadu meliputi kluster pembuatan halal, pembuatan hijau, automotif EEV serta tenaga boleh baharu manakala PIP berkeluasan 500 ekar dimajukan dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Februari 2026.


Kerajaan negeri juga akan menubuhkan sebuah makmal pengujian pensijilan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa negeri dalam kawasan CVIA bagi memperkukuh standard dan  mempercepat proses pensijilan serta memastikan piawaian saintifik dan halal dipatuhi dengan konsisten, sekaligus memperkasakan ekosistem halal di Malaysia.


“Selain itu, program Keusahawanan dan Pensijilan Halal turut dilaksanakan bertujuan untuk mempromosikan usahawan tempatan, pematuhan proses pensijilan halal oleh syarikat di samping membantu mempertingkatkan daya saing produk,” katanya.

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

11 Dec 2025

Waktu solat berikutnya,

Dhuhr

pada

13:09

mosque
imsak

Imsak

05:46:00

fajr

Fajr

05:56:00

syuruk

Syuruk

07:07:00

dhuhr

Dhuhr

13:09:00

asr

Asr

16:32:00

maghrib

Maghrib

19:06:00

isha

Isha

20:21:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase