Back To All

Nov 24, 2025 5PM

Realiti Invisible Poor, zakat belum mampu tampung sepenuhnya

author

NUR AMIRA AFRINA

Tidak berkemampuan namun tidak disedari masyarakat, golongan Invisible Poor atau Miskin Halimunan tercicir daripada mendapat bantuan sara hidup hanya kerana kehidupan mereka tampak ‘normal’ di mata kita. 

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman, mereka yang bekerja di bandar kebanyakannya tertekan dan terbeban dengan pelbagai kos seperti sewa rumah, pengangkutan, pendidikan dan perubatan lalu jatuh dalam kerentanan ekonomi. 

 

Walaupun melakukan lebih daripada satu kerja, Abdul Hakim berkata golongan itu masih tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan lalu berisiko terjerumus dalam masalah kewangan serius sekiranya mereka tidak menerima bantuan.


“Invisible Poor ini adalah golongan yang bekerja tetapi pendapatan mereka masih belum mampu untuk menampung perbelanjaan asasi mereka, apatah lagi untuk menyimpan bagi waktu-waktu kecemasan. 

 

“Mereka bukan pemalas bahkan tidak meminta-minta, namun mereka tersepit dalam kitaran hidup susah dan tidak mendapat bantuan, jadi kami dapati mereka perlu dibantu melalui dana kutipan zakat Wilayah Persekutuan.


Kebanyakan golongan Invisible Poor adalah dari kalangan pengusaha ekonomi gig yang lazim tidak mempunyai dokumen rasmi pekerjaan seperti slip gaji, lalu sukar untuk memohon bantuan.


“Cuma buat masa ini, agak sukar untuk kami menentukan jumlah golongan ini kerana data kemiskinan Invisible Poor tidak direkodkan,” katanya.

 

Beliau berkata, kos sara hidup khususnya di Kuala Lumpur menjadi salah satu faktor yang membebankan golongan tersebut selain pendapatan tidak stabil misalnya dalam ekonomi gig dan tanggungan ahli keluarga yang ramai. 

 

Lebih merunsingkan, Abdul Hakim menjelaskan golongan itu juga tidak termasuk dalam akses penentuan bantuan kerana tiada maklumat atau dokumen seperti slip gaji yang boleh mengesahkan pendapatan mereka.

 

Abdul Hakim berkata, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami sebagai ketua keluarga, isteri bekerja dan menetap di rumah sewa kos rendah serta mempunyai dua tanggungan anak, nilai Had Kifayah ditetapkan adalah sebanyak RM1,755.

 

“Bagi kita menentukan kelayakan calon penerima bantuan zakat, MAIWP akan mengira pendapatan berdasarkan Had Kifayah yang meliputi enam tanggungan utama iaitu kediaman, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, pakaian dan makanan. 


Abdul Hakim sebak menceritakan situasi golongan asnaf ketika pandemik COVID-19 lalu dalam sesi temu ramah eksklusif bersama Kinihalal.


“Jadi selepas menolak pendapatan dengan enam tanggungan ini, barulah akan tentukan samada calon itu termasuk dalam kumpulan miskin atau miskin tegar.” katanya.

 

Merujuk kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Abdul Hakim berkata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) di Kuala Lumpur pada 2022 mencecah RM5,468 iaitu kedua tertinggi di negara manakala Paras Garis Kemiskinan (PGK) adalah sebanyak RM2,816.

 

Tambah beliau, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada tahun yang sama pula sebanyak RM1,198 bagi miskin tegar manakala RM2,589 bagi miskin mutlak, menunjukkan bahawa sebenarnya lebih ramai penduduk di Wilayah Persekutuan berada dalam jurang kemiskinan.

 

Sehubungan itu, CEO itu berkata pihak MAIWP sedang menjalankan kajian untuk meningkatkan Had Kifayah bagi memastikan lebih ramai penduduk Wilayah Persekutuan yang tidak berkemampuan layak menerima bantuan zakat.

 

Namun, Abdul Hakim menjelaskan inisiatif tersebut akan menambah jumlah penerima zakat lalu memerlukan kutipan zakat yang lebih tinggi.


Walaupun PPZ hanya berperanan sebagai pengutip zakat, mereka turut turun padang bersama MAIWP untuk menyantuni penerima asnaf. 


Beliau berkata, buat masa ini pihaknya memerlukan anggaran RM1.3 bilion untuk menampung 34,000 keluarga penerima zakat sedia ada, dan memerlukan sebanyak lebih kurang RM1.5 bilion bagi tahun berikutnya jika jumlah penerima zakat bertambah.

 

“Setakat semalam (9 November), portal rasmi MAIWP mencatatkan kutipan kami hanya sebanyak RM791.66 juta manakala agihan mencecah RM970.37 juta yang menunjukkan kami kekurangan lagi RM178.7 juta.

 

“Orang selalu salah anggap bahawa kutipan zakat di Wilayah Persekutuan ini sudah tinggi, mencapai bilion ringgit dan sebagainya namun hakikatnya, ia masih belum mencukupi untuk menyantuni keperluan asnaf-asnaf di sini,” katanya.

 

Bagi memastikan usaha itu tidak menemui penghujung, beliau menggesa penduduk dan pekerja di Wilayah Persekutuan untuk tampil membayar zakat di negeri itu agar keperluan asas para asnaf dapat dipenuhi.

 

Beliau berkata, bayaran zakat oleh penduduk dan pekerja di negeri serba canggih itu adalah hak asnaf yang terdapat di situ, maka seharusnya sumbangan itu tidak disalurkan ke tempat-tempat lain. 


Gerakan Bendera Putih ketika pandemik COVID-19 menjadi titik gelap dalam sejarah ekonomi dan sosial negara yang harus menjadi peringatan masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan.


“Kami tak mahu tengok ada di antara asnaf-asnaf yang mengangkat bendera putih, tidak ada makanan. Kalau boleh, kami mahu pastikan mereka mempunyai dan menikmati makanan di meja makan mereka.

 

“Saya seru kepada semua masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan tanggungjawab anda melalui PPZ-MAIWP supaya duit zakat ini dapat kami salurkan kepada yang memerlukan. 

 

“Apabila kami menerima zakat secara konsisten, kami dapat pastikan asnaf-asnaf menerima bantuan dengan konsisten terutamanya dari segi kekerapan dan jumlah bantuan,” katanya. 

 

Kutipan zakat yang mencukupi juga, maklum beliau, dapat membantu PPZ-MAIWP mengangkat golongan Invisible Poor untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik dan selesa.

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

25 Nov 2025

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

05:41

mosque
imsak

Imsak

05:41:00

fajr

Fajr

05:51:00

syuruk

Syuruk

07:01:00

dhuhr

Dhuhr

13:03:00

asr

Asr

16:25:00

maghrib

Maghrib

19:01:00

isha

Isha

20:14:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase