Aug 04, 2025 1PM
Kerajaan hanya benarkan pengimportan daging, ayam patuh halal Jakim
Hanya pengimportan daging dan produk daging serta unggas dan produk unggas diiktiraf sijil halal daripada badan pensijilan halal Amerika Syarikat (AS) yang mematuhi piawaian dan standard Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibenarkan masuk ke negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, usaha itu dilakukan kerana kerajaan tidak berkompromi dan akan terus mengekalkan standard halal patuh syariah bagi memelihara kepentingan pengguna dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
“Fasilitasi yang ditawarkan di sini hanya berkaitan pemantauan dan verifikasi yang akan dilaksanakan oleh Badan Pensijilan Halal Amerika Syarikat yang diiktiraf oleh Jakim,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Malaysia akan serta-merta mengiktiraf sijil halal AS bahkan menyatakan tuduhan itu adalah tidak berasas, bersifat mengelirukan dan berniat jahat serta tidak mencerminkan fakta sebenar yang telah dipersetujui dalam rundingan tersebut.
Menurut Tengku Zafrul, rundingan berkenaan juga bersetuju memudah cara proses pensijilan dan pendaftaran fasiliti untuk eksport produk tenusu, daging dan produk daging serta unggas dan produk unggas dari AS ke Malaysia berdasarkan peraturan domestik yang ditetapkan.
“Kedua-dua negara turut bersetuju untuk menerima pelaksanaan kaedah regionalisation bagi kawalan penyakit haiwan untuk eksport unggas hidup dan produk unggas dari AS, selain memudah cara proses pengiktirafan standard dan pemasaran produk perindustrian dari AS seperti produk automotif, peranti perubatan dan farmaseutikal berdasarkan peraturan domestik yang telah ditetapkan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, rundingan tersebut juga menyaksikan kedua-dua negara bersetuju mempertingkat komitmen dan penguatkuasaan dalam isu hak harta intelek, buruh, alam sekitar dan pengurusan perikanan mampan berdasarkan komitmen Malaysia di pertubuhan antarabangsa yang berkaitan.
Waktu Solat


04 Aug 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:42

