Back To All

Sep 29, 2025 7PM

Uzbekistan giat promosi global, infrastruktur moden dan pemuliharaan warisan Islam

Uzbekistan dalam usaha menjadikan negara itu sebagai hab pusat pelancongan Islam di Asia Tengah dengan menekankan pemeliharaan tapak warisan Islamik untuk menarik pengunjung Muslim.


Travel and Tour World (TTW) melaporkan, kerajaan negara itu giat melaburkan banyak dana ke arah membangunkan infrastruktur, kerja-kerja baik pulih dan promosi luar negara bagi mewujudkan Uzbekistan sebagai pilihan destinasi pelancongan Islamik utama rantau itu.


Inisiatif-inisiatif tersebut, menurut laporan itu, adalah selari dengan objektif pembangunan negara Uzbekistan untuk menambah pendapatan sektor pelancongan, merangsang warisan budaya dan meningkatkan profil bandar purbanya di pentas antarabangsa.


“Uzbekistan adalah rumah kepada beberapa tapak warisan Islam yang paling ikonik di dunia misalnya Samarkand dan Bukhara.


“Dua bandar penting itu kaya dengan sejarah, budaya dan seni bina Islam, menjadikan bandar-bandar itu pusat bagi pengembara Muslim bersinggah sehingga menarik pengunjung lain yang berminat untuk meneroka masjid, madrasah purba, dan makam sufi.


“Dinamakan Tapak Warisan Dunia UNESCO, Samarkand dan Bukhara menawarkan pengalaman menyelami budaya Islam yang terjalin erat dengan tradisi setempat, menjadikan bandar-bandar itu destinasi utama buat pelancong ke Asia Tengah,” katanya.


Makam Imam Al-Bukhari turut mempunyai perpustakaan dan pusat pendidikan yang kaya dengan ilmu hadis untuk rujukan orang awam. (kredit foto: Peopletravel)


Langkah itu juga memastikan kerajaan Uzbekistan dapat memelihara khazanah negara sambil membenarkan pengembara global mengakses tempat-tempat tersebut, mewujudkan pengalaman pelancongan yang secara tidak langsung menjaga kepentingan budaya mereka.


Antara lokasi  tumpuan kerajaan itu adalah makam Imam al-Bukhari yang terletak berdekatan Samarkand, atas nilai kerohanian dan sejarah lokasi itu dengan orang Islam sedunia.


Pembangunan makam ulama Islam terulung itu melibatkan pembinaan sebuah masjid dengan kapasiti 10,000 jemaah serta empat menara, mencerminkan komitmen negara itu untuk menjadikan lokasi tersebut bukan sahaja tempat beribadah namun destinasi pelancongan.


Lebih sukacita, kompleks Maturidi yang didedikasi atas ajaran Abu Mansur al-Maturidi di Samarkand turut mengalami proses pemulihan yang signifikan memandangkan pemeliharaan tapak itu penting bagi mengekalkan teologi dan sejarah keilmuan Islam di rantau tersebut.


Pada masa sama, kerajaan tersebut melancarkan beberapa teknologi baharu bertujuan menonjolkan Uzbekistan di mata dunia.


Salah satu inisiatif tersebut adalah pelancaran saluran televisyen Imam Bukhari yang menyiarkan kandungan dalam beberapa bahasa untuk mempamerkan warisan Islamik dan kebudayaan Uzbekistan kepada penonton global.


Saluran tersebut menjadi alat penting untuk menarik pengunjung Muslim serata dunia, menyampaikan maklumat berkenaan tempat-tempat suci dan tarikan bersejarah di Uzbekistan.


Pengunjung dari negara anggota Pertubuhan Negara Turki yang berkunjung ke Uzbekistan. (kredit foto: Organization of Turkic States)


Kerajaan itu juga membangunkan platform atas talian, Tabarruk Ziyorat yang mempunyai maklumat terperinci bagi 260 tempat suci di seluruh negara tersebut dan boleh diakses pengguna antarabangsa dalam tujuh bahasa.


Fokus lain kerajaan Uzbekistan turut melibatkan penambaikan perhubungan antarabangsa dengan mewujudkan laluan udara baharu dan perkongsian dengan syarikat penerbangan antarabangsa untuk memudahkan perjalanan ke bandar bersejarah di negara itu.


Buat masa ini, hasil awal dari pembaharuan sektor pelancongan Uzbekistan menunjukkan potensi dengan lebih 57 peratus pengunjung negara itu pada separuh pertama 2025 adalah daripada negara anggota dan pemerhati Pertubuhan Negara Turki.


Statistik itu membuktikan daya tarikan Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan Islam yang penting di rantau itu semakin berkembang, khususnya dalam kalangan negara yang berkongsi bahasa, budaya dan hubungan keagamaan.


Trend positif itu menggariskan kejayaan Uzbekistan dalam mengukuhkan hubungan dengan negara jiran selain meningkatkan pelancongan serantau. 


Sekiranya Uzbekistan terus mempromosikan dirinya sebagai hab pelancongan Islam, negara itu dijangka akan melangkaui negara berbahasa Turki lalu menarik pengunjung dari seluruh dunia Islam dan juga wilayah lain.

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

30 Sep 2025

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

05:43

mosque
imsak

Imsak

05:43:00

fajr

Fajr

05:53:00

syuruk

Syuruk

07:00:00

dhuhr

Dhuhr

13:06:00

asr

Asr

16:16:00

maghrib

Maghrib

19:08:00

isha

Isha

20:16:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase