Apr 23, 2025 5PM
CEO: Lembaga Zakat Selangor akan libat banyak kerjasama korporat tingkatkan pembayaran zakat
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari ingin melibatkan kerjasama korporat dalam menyalurkan sumbangan kepada Lembaga Zakat Selangor sebagai antara fokus beliau susulan pelantikannya sebagai CEO dua minggu lalu.
Khaidzir berkata, konsep sumbangan korporat ini serupa dengan cukai korporat yang dikenakan terhadap syarikat-syarikat di Malaysia.
“Cukai korporat ini adalah sebuah perbelanjaan boleh tolak yang dikenakan sebanyak 24 peratus daripada jumlah pendapatan syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia.
“Jadi, kita ingin beri kesedaran kepada korporat-korporat (berkenaan penolakan ini) untuk menyalurkan sedikit hasil operasi mereka kepada Lembaga Zakat Selangor.
CEO Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari dalam temuramah eksklusif bersama Kinihalal
“Insha allah, kita akan tentukan KPI dalam usaha ke arah kesedaran dan kerjasama korporat,” katanya ketika temubual eksklusif bersama Kinihalal.
Pada masa kini, Khaidzir berkata, Lembaga Zakat Selangor bersama para majikan telah melaksanakan skim potongan gaji bagi memudahkan pekerja membayar zakat. Hasilnya, sebanyak RM546 juta berjaya dikutip pada tahun 2024, menyumbang 45 peratus kepada jumlah kutipan zakat kumulatif.
Tambah beliau lagi, digitalisasi juga akan menjadi antara fokus beliau sepanjang perkhidmatannya untuk mendapatkan dan mengumpulkan data masa kini secara atas talian.
“Kami dalam rancangan untuk mewujudkan kerjasama data merentas agensi yang lebih mendalam sambil meneroka teknologi baharu seperti AI, dan keupayaan EQYC untuk meningkatkan penyasaran dan mengoptimumkan pengurusan zakat, menjadikan usaha kami lebih pantas, lebih bijak dan lebih berkesan,” katanya.
Sidang media tersebut diadakan di Menara Zakat Sultan Idris Shah, Seksyen 14, Shah Alam hari ini
Ketika berucap di sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Lembaga Zakat Selangor pada 2024, Khaidzir berkata, pembayaran melalui saluran Direct Debit mengalami pertumbuhan tertinggi sebanyak 60 peratus, dan membawa masuk kutipan sebanyak RM1.4 juta.
“Ini menunjukkan peralihan ke arah pembayaran zakat yang lebih automatik, digital dan mesra pengguna, selari dengan agenda digitalisasi kami,” katanya.
Dalam pada itu, Khaidzir turut berkata pihaknya merekodkan kutipan zakat tertinggi sebanyak RM1.22 billion pada tahun itu, dengan lebih separuh kutipan daripada zakat pendapatan berjumlah RM712 juta.
Menurut beliau, kutipan zakat bagi tahun itu meningkat sebanyak 9 peratus berbanding tahun 2023 yang menunjukkan sokongan dan kepercayaan lebih 380 ribu pembayar zakat terhadap lembaga itu.
Khaidzir dilantik menjadi CEO Lembaga Zakat Selangor yang baharu pada 7 April tahun ini
“Ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap asnaf, tetapi juga skala tanggungjawab yang semakin meningkat terhadap peranan kami dalam menangani kemiskinan di Selangor,” katanya kepada media.
Pada masa sama, Lembaga Zakat Selangor turut merekodkan agihan bantuan zakat tertinggi sebanyak RM1.19 billion yang memanfaatkan lebih 370 ribu penerima di seluruh Selangor.
Khaidzir berkata, peningkatan agihan zakat ini sejajar dengan penambahan penerima zakat sebanyak 19 peratus dari tahun ke tahun. Lebih 77 ribu keluarga fakir dan miskin menjadi penerima zakat baharu pada tahun 2024.
Beliau berkata, kumpulan yang sama turut menjadi penerima terbesar sumbangan zakat iaitu sebanyak RM707 juta dan mewakili 60 peratus daripada jumlah kumulatif edaran zakat.
Khaidzir (kanan) bersama Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (kiri) ketika sesi soal jawab bersama media
“Ini menunjukkan bukan sahaja jangkauan kami luas tetapi juga peranan dan keupayaan kami untuk bertindak balas terhadap perubahan landskap dan kemiskinan sama ada dalam masyarakat bandar, separa bandar atau luar bandar di Selangor,” kata Khaidzir.
Ketika sesi soal jawab bersama media, sebanyak RM30 juta baki daripada jumlah kutipan yang dibuat didapati masih belum diagihkan kepada penerima zakat.
Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, kutipan yang dibuat pada akhir tahun lalu iaitu bulan Disember akan diagihkan pada tahun ini sehingga bulan Jun.
Waktu Solat


24 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:29

