Jul 10, 2025 8PM
SDurian World catat rekod Pesta Durian Terbesar dengan Penyertaan Teramai
SDurian World melakar sejarah tersendiri selepas menganjurkan Pesta Durian Terbesar dengan Penyertaan Teramai, menghimpunkan 1,188 pengunjung di One World Hotel, Petaling Jaya dari jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang tadi.
Kejayaan ini melayakkan SDurian World disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjur rasmi acara bersejarah tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SDurian World, David Hew, acara itu mendapat sambutan yang luar biasa khususnya daripada pengunjung global sekali gus menunjukkan kemampuan durian keluaran Malaysia sebagai tarikan antarabangsa.
“Bukan sahaja rakyat Malaysia hadir, malah peminat durian dari luar negara turut memeriahkan pesta ini.
“Kerjasama erat dengan pihak hotel turut membantu melancarkan acara,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SDurian World, David Hew (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Pembangunan SDurian World, Faiz Baharudin (hujung kiri) dan Ketua Pegawai Komersial SDurian World, Faisal Ghani (hujung kanan)
Beliau berkata, peserta dari lebih 10 buah negara berkunjung ke acara itu termasuk China, Hong Kong, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain hadir untuk menikmati durian, raja buah tempatan yang menjadi simbol kebanggaan negara.
Ketua Pegawai Pembangunan SDurian World, Faiz Baharudin berkata, sebanyak 1.5 tan durian dari ladang SDurian sendiri diperuntukkan khas bagi acara itu.
“Kami gelarkan acara ini sebagai Durian Fiesta, yang mengumpulkan sekurang-kurangnya 1,200 orang pengunjung untuk merasai durian kami secara percuma,” katanya ketika ditemu ramah oleh Kinihalal.
Syarikat tempatan itu mempunyai ladang seluas 2,000 ekar di Lojing Highlands, Gua Musang yang kini menanam lebih 10,000 pokok durian Musang King dan merancang untuk mencapai sasaran 100,000 pokok menjelang tahun depan.
SDurian kini berada di landasan kukuh untuk menjadi pengeluar durian khususnya Musang King terbanyak di dunia.
Antara durian lain yang dihidangkan adalah durian Duri Hitam, D24 dan 101 (kredit foto: SDurian World)
“Kami komited untuk terus berkembang, termasuk melalui pembukaan outlet seperti ‘Twenty Four’ dan ‘One One’ sebagai sebahagian daripada strategi jenama dan pengedaran kami,” kata David.
Melalui inisiatif itu, SDurian membuka peluang pelaburan dalam sektor pertanian bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia, bukan sekadar menjadi penganjur acara berskala besar semata-mata.
Lebih menarik, SDurian adalah antara pelaburan pertanian paling mampan di Malaysia kerana ia diuruskan sepenuhnya tanpa sebarang hutang atau cagaran dengan pihak ketiga.
Sejak lebih tiga tahun lalu, SDurian turut menembusi pasaran eksport ke China yang mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai pemain industri durian global utama.
“Harapan saya, suatu hari nanti SDurian dapat mencatat satu lagi sejarah yang bakal mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar durian Musang King dari ladang terbesar dunia,” tambah David.
Waktu Solat


12 Jul 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:30

