Mar 26, 2025 5PM
Nasib mekanik berubah, berpeluang raikan Aidilfitri di rumah baharu
Nasib seorang mekanik dari Pekan, Pahang yang memiliki pendapatan tidak mencecah RM1,000 sebulan berubah apabila dia terpilih sebagai penerima program Rumah Rakyat Al- Sultan (Ru'RASA).
Jika dahulu Mohd Redzuan Abdul Razak dan keluarga terpaksa berpindah-randah selama 18 tahun, kini tidak lagi apabila mereka berpeluang meraikan Aidilfitri di rumah sendiri.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata dia sangat bersyukur apabila sambutan lebaran tahun ini dapat diraikan dengan penuh selesa.
“Syukur sangat apabila terpilih sebagai penerima rumah baharu Ru'RASA. Usaha saya untuk dapatkan sebuah rumah selesa buat keluarga sangat susah, pelbagai rumah kos rendah telah saya mohon bagaimanapun tidak berjaya.
"Alhamdulillah, selepas dua tahun mohon projek Ru'RASA, akhirnya saya berjaya memiliki rumah sendiri yang dibina di tanah emak di Kampung Ganchong Tengah. Terima kasih kepada Sultan Pahang yang prihatin dengan nasib kami dan tentunya sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna," katanya seperti dipetik Bernama.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia (dua, kiri) dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera (kiri) (kredit foto: Facebook Kesultanan Pahang)
Redzuan berkata, dengan gaji tidak mencecah RM1,000 sebulan, dia tidak mampu menyewa rumah yang selesa buat keluarganya.
Mekanik itu berkata, rumah yang berkonsepkan sesebuah setingkat itu akan dijaganya dengan baik dan tidak akan disia-siakan.
Tambah beliau lagi, rumah pertamanya itu dalam rancangan untuk dibesarkan sekiranya ada lebihan rezeki pada masa akan datang.
"Hendak dapat sebuah rumah begitu susah, jadi saya bersama keluarga sangat menghargainya apatah lagi mendapatkannya secara percuma. Syukur dan saya juga rancang untuk membuka bengkel kecil di belakang rumah," katanya.
Rumah berkonsepkan sesebuah setingkat milik Redzuan sekeluarga itu dibina di atas tanah ibunya di Kampung Ganchong Tengah dengan kos pembinaan bernilai RM75,000.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut diiringi oleh wakil kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mr Aamer Alteneiji (kiri) (kredit foto: Facebook Kesultanan Pahang)
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahkan kunci rumah kepada 15 penerima program Ru'RASA dari pelbagai kampung di daerah Pekan, Pahang termasuk Mohd Redzuan.
Al-Sultan Abdullah bertitah, program tersebut merupakan inisiatif bersama Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan untuk menyediakan perumahan yang selesa dengan ciri-ciri keselamatan khususnya bagi kawasan mudah banjir.
Ketika menemui salah seorang penerima program Ru’RASA, Sultan Pahang bertitah bahawa projek tersebut tidak mempunyai kuota pembinaan tertentu dan bergantung kepada peruntukan yang diperolehi.
“Peruntukan Ru'RASA banyaknya daripada UAE, saya cuma pemudah cara. Terima kasih, dalam beberapa tahun proses ini berjalan dengan baik dan mudah-mudahan program ini akan (dapat) ditambahkan lagi (pada masa akan datang), insya-Allah," titah baginda.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah majlis penyerahan kunci kepada salah seorang penerima Ru’RASA (kredit foto: Facebook Kesultanan Pahang)
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Penerima terpilih akan mendapat sebuah rumah percuma antara dua reka bentuk samada Rumah Jenis Sesebuah Setingkat atau Rumah Jenis Sesebuah Bertiang.
Pembinaan bagi kedua-dua jenis rumah mengambil masa 16 minggu untuk disiapkan dan menelan kos sebanyak RM75,000 bagi Rumah Jenis Sesebuah Setingkat manakala RM118,000 bagi Rumah Jenis Sesebuah Bertiang.
Sultan Pahang berharap pemberian itu dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka menjelang hari-hari yang mendatang.
Waktu Solat



