Mar 28, 2025 11AM
Maybank Islamic terajui penyelesaian tenaga lestari melalui program Energy 4Life di Sabah dan Sarawak
Sejak 2022, Maybank Islamic melalui dana zakat, telah menerajui usaha dalam menyediakan penyelesaian tenaga lestari dengan mengagihkan panel solar kepada penerima terpilih di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.
Program yang bertujuan untuk memperkasakan komuniti tempatan itu dikenali sebagai Maybank Islamic Energy 4Life, yang menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk meningkatkan taraf hidup dan memberi akses kepada elektrik yang sangat penting untuk kesejahteraan sosial.
Program berkenaan direka khas untuk meringankan beban kewangan isi rumah yang sebelum ini bergantung kepada penggunaan set penjana berasaskan minyak petrol dan diesel yang mahal dan tidak mesra alam.
Dengan teknologi solar inovatif yang disediakan, sistem tenaga solar berkenaan mampu bertahan sehingga 8 jam penggunaan pada waktu malam hanya dengan satu cas penuh pada siang hari.
Ia memberikan penjimatan ketara kira-kira RM300 sebulan jika dibandingkan dengan kos penggunaan set penjana tradisional sekaligus menawarkan alternatif tenaga mesra alam yang lebih murah dan efisien.
Kanak-kanak di kampung itu terpaksa belajar dalam keadaan gelap dengan menggunakan lilin
Sejak 2022 hingga 2024, Maybank Islamic telah memperuntukkan lebih RM2 juta bagi melaksanakan program itu yang memberi manfaat kepada 3,537 penerima.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama rakan pelaksana seperti Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Yayasan Ikhlas, dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
Wakil penduduk Pulau Sepanggar, Sabah, Mohd Shah Sawi, berkongsi perubahan positif yang dialami oleh penduduk selepas pemasangan sistem tenaga solar itu.
“Sebelum ini, kami terpaksa bergantung pada petrol atau diesel untuk menghasilkan tenaga elektrik melalui set penjana.
“Tetapi dengan adanya sistem solar ini, kami kini dapat mengurangkan, malah menghapuskan keperluan untuk membeli bahan bakar tersebut. Keadaan kini jauh lebih baik berbanding dahulu,” katanya.
Rahimin mengakui kesukaran kanak-kanak yang bersekolah untuk mengulangkaji pembelajaran waktu malam
Seorang lagi penduduk, Jeffry Ebin, 47, yang juga dari Pulau Sepanggar, menceritakan pengalaman sukar yang dihadapi keluarganya sebelum ini.
“Anak-anak saya terpaksa belajar dalam keadaan gelap setiap malam. Kami hanya bergantung pada lilin untuk menerangi rumah.
“Kini, dengan adanya tenaga solar, anak-anak saya dapat belajar dengan lebih selesa”, tambahnya.
Di kampung Kapulu, Rahimin Saji, 52, turut mengakui kesukaran yang dialami oleh masyarakat di situ, terutama mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
“Kami menggunakan pelita yang diisi dengan minyak diesel sebagai penyelesaian sementara untuk menerangi rumah. Ia memang menyusahkan, apatah lagi bagi kanak-kanak yang perlu belajar pada waktu malam,” katanya.
Maybank Islamic Energy 4Life, yang menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk meningkatkan taraf hidup
Dengan menawarkan tenaga alternatif yang mesra alam dan mampu milik, Maybank Islamic bukan sahaja menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau, tetapi turut membantu mengatasi jurang akses tenaga yang penting untuk kemakmuran ekonomi di kawasan-kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Inisiatif itu juga sejajar dengan visi kemampanan Kumpulan Maybank untuk menghasilkan impak positif kepada satu juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025.
Dengan langkah-langkah tersebut, Maybank Islamic bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan masyarakat, tetapi turut menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan mampan, sekaligus memperbaiki kualiti hidup penduduk di kawasan luar bandar.
Ketua Pengurusan Syariah Maybank Islamic Berhad, Munawwaruzzaman Mahmud berkata, Projek Energy 4Life oleh Maybank Islamic adalah bukti tanggungjawab bersama sebagai sebuah komuniti.
Menurut beliau, kuasa zakat adalah instrumen perubahan sosial yang sangat besar.
Munawwaruzzaman Mahmud berkata, projek Energy 4Life bukan sekadar memberi cahaya di rumah, tetapi memberi harapan yang lebih cerah
Justeru, katanya, peranan Maybank Islamic adalah untuk mengecilkan jurang tersebut bagi memastikan bahawa tiada sesiapa pun yang terpinggir.
“Di kawasan luar bandar, ramai saudara-saudara kita, terutamanya daripada golongan asnaf, masih bergelut tanpa akses kepada elektrik.
“Bagi kami, zakat bukan sekadar tanggungjawab tetapi usaha untuk menyusun semula kekayaan demi keadilan dan kesaksamaan.
“Dengan menggunakan dana zakat Energy 4Life, kami berharap dapat mencipta kesan positif yang lebih besar untuk membantu saudara-saudara yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, projek Energy 4Life juga bertujuan untuk memberdayakan komuniti, menyediakan tenaga elektrik melalui pemasangan panel solar yang bukan sekadar memberi cahaya di rumah, tetapi memberi harapan yang lebih cerah.
Zakat bukan sekadar tanggungjawab tetapi usaha untuk menyusun semula kekayaan demi keadilan dan kesaksamaan.
Katanya, ia membantu mencipta persekitaran agar komuniti dapat berkembang.
“Bagi kanak-kanak, ini bermakna mereka boleh belajar pada waktu malam, dan bagi keluarga, mereka boleh beribadah dengan lebih selesa, menjalankan perniagaan kecil, menjana pendapatan, serta memperbaiki kualiti hidup,” katanya.
Munawwaruzzaman berkata, harapan Maybank Islamic agar Energy 4Life menjadi pemangkin, bukan sahaja untuk menerangi rumah penduduk tetapi juga untuk memberi inspirasi kepada organisasi, perniagaan, dan individu lain untuk turut serta dalam perjuangan itu.
“Bersama-sama, kita mampu mengubah cabaran ini menjadi peluang dan mencipta perubahan positif yang memberi impak lebih bermakna,” katanya.
Waktu Solat



