Apr 21, 2025 4PM
IKIM tegur pemimpin utamakan kemenangan politik sampai rendahkan ibadah umrah dan haji
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kesal dengan sikap segelintir pemimpin politik yang seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat sebaliknya bertindak mengutamakan kemenangan politik sehingga merendahkan nilai ibadah seperti haji dan umrah.
“Pemimpin politik sebagai individu yang menjadi teladan dalam masyarakat, seharusnya menunjukkan sikap yang seimbang antara tanggungjawab duniawi dan ukhrawi.
“Islam mengajar kepentingan duniawi tidak boleh mengatasi kewajipan beribadah kepada Allah S.W.T, kerana kehidupan di dunia adalah sementara berbanding kehidupan akhirat yang kekal.” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Kenyataan media yang dimuat naik oleh IKIM menerusi akaun media sosial mereka (kredit foto: Facebook IKIM)
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, haji merupakan rukun Islam yang kelima di mana setiap Muslim yang berkemampuan mesti mengerjakan ibadah tersebut seperti yang termaktub dalam Al-Quran.
Tambah beliau lagi, umrah pula merupakan ibadah sunat yang digalakkan oleh Islam akan ganjaran besarnya seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah S.A.W.
Justeru, beliau menyeru masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama agar mereka dapat membezakan kepentingan duniawi dan menjadi keutamaan agama.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa umat Islam yang harus menerajui kepimpinan negara (kredit foto: Malaysiakini)
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencadangkan kepentingan politik harus diutamakan manakala ibadah haji dan umrah boleh ditangguhkan demi politik Islam dalam ucapan beliau sewaktu ketika Ceramah Mega PN di pekarangan luar Tadika PASTI Asy-Syakirin Kampung Tanjong Keramat, Tapah
Beliau menggunakan ibrah peristiwa Rasulullah SAW yang dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum dan sedang meneliti kenyataan yang dilaporkan media baru-baru ini berhubung seruan mengutamakan kemenangan politik berbanding menunaikan umrah dan haji ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning sedang berlangsung.
Dato Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan media JAKIM (kredit foto: Facebook JAKIM)
Tindakan tersebut akan dijalankan bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.
“(Hal ini) bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam serta menghayatinya berdasarkan panduan syarak serta tidak disalah tafsir,” katanya.
Tanpa menamakan mana-mana ahli politik, JAKIM turut menyeru semua pihak untuk sentiasa berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama Islam supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Waktu Solat


24 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:29

