Aug 26, 2024 4PM
Kursus Pengukuhan Kompetensi JAKIM Untuk Tingkatkan Kualiti Juruaudit MUIS Halal Hab
Sumber foto dari Facebook JAKIM
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pengurusan Halal (BPH) telah menganjurkan Kursus Pengukuhan Kompetensi Fasa 1 bagi juruaudit halal MUIS Halal Hab, yang berlangsung di Hotel Pan Borneo, Kota Kinabalu, Sabah. Kursus yang diadakan pada 12 Ogos 2024 hingga 16 Ogos 2024 ini berjaya mengumpulkan 11 juruaudit halal dari MUIS Halal Hab.
Tujuan utama kursus ini adalah untuk memperkukuh dan menyelaras pengetahuan serta pengalaman dalam pelaksanaan pensijilan halal di Malaysia. Program ini diadakan berasaskan Modul Pembangunan Kompetensi Juruaudit Halal Malaysia yang dibangunkan oleh JAKIM dan selaras dengan keperluan ISO/IEC 17065.
Sumber foto dari Facebook JAKIM
Peserta kursus telah mengikuti pengisian yang meliputi 15 topik penting, disampaikan oleh lima penceramah dari BPH yang merupakan juruaudit halal kompeten dan berpengalaman dalam pensijilan halal Malaysia. Pengisian ini dirancang untuk memastikan bahawa juruaudit halal di MUIS Halal Hab memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan kualiti pensijilan halal.
Sumber foto dari Facebook JAKIM
Kursus ini merupakan inisiatif BPH, JAKIM dalam usaha membangunkan kompetensi juruaudit halal MAIN/JAIN, untuk memastikan mereka setanding dalam aspek kompetensi dan meningkatkan keyakinan industri terhadap perkhidmatan pensijilan halal Malaysia.
Pada hari terakhir kursus, majlis penutup disempurnakan oleh YBrs. Tuan Mohamad Sidik bin Awang Adi, Pengerusi MUIS Halal Hab. Dalam ucapan penutupnya, beliau menggariskan perancangan dan hala tuju halal di Sabah, serta menekankan kepentingan kerjasama yang erat antara JAKIM dan MUIS Halal Hab untuk merealisasikan matlamat tersebut di masa hadapan.
Kursus ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada pengurusan pensijilan halal dan meningkatkan kepercayaan industri terhadap sistem pensijilan halal Malaysia.
Ingin menampilkan siaran akhbar, temu bual eksklusif, atau kandungan berjenama anda di Kinihalal & Malaysiakini? Email kami di [email protected]
Sertai komuniti Halal kami untuk mendapatkan berita dan acara terkini.
Ikuti Kinihalal di: Facebook, LinkedIn, Instagram, dan TikTok.
Waktu Solat


02 Aug 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:43

