Apr 29, 2025 4PM
Majlis Halal ASEAN: rancakkan perdagangan halal di rantau Asia Tenggara
Cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN yang dibawa oleh Malaysia akan memudahkan kemasukan produk halal antara dua negara dan mengembangkan perdagangan intra-ASEAN yang masih belum mencapai potensi sebenar sehingga kini.
Cadangan tersebut akan diketengahkan di peringkat Sekretariat ASEAN untuk dimuktamadkan secara rasmi dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik industri halal serantau.
Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Khairul Azwan Harun berkata, usul tersebut mencapai kata putus ketika sesi meja bulat industri halal Malaysia-Indonesia di Jakarta pada 22 April yang lalu.
Sesi meja bulat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), Indonesia Ahmad Haikal Hassan.
Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Khairul Azwan Harun (kredit foto: Malaysiakini)
"Majlis Halal ASEAN ini akan menjadi platform untuk memperkemas perdagangan pengembangan pasaran serta pengharmonian penggunaan logo halal selain bakal memanfaatkan pasaran serantau yang mencecah hampir 700 juta penduduk," katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Khairul berkata, kedua-dua negara berkenaan turut bercadang untuk mengiktiraf timbal balik sijil halal Malaysia dan Indonesia agar mereka tidak perlu melalui sebarang prosedur dan saringan bagi memudahkan kemasukan produk halal.
"Langkah ini bukan hanya menjimatkan kos dan masa, malah dijangka memberi lonjakan kepada dagangan dua hala di antara Malaysia dengan Indonesia khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mahu menembusi pasaran negara jiran yang memiliki lebih 240 juta penduduk Islam.
"Produk Malaysia yang mempunyai sijil halal yang dikawal selia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh terus dipasarkan di Indonesia, begitu juga sebaliknya. Ini merupakan satu perubahan besar atau game changer (pengubah keadaan) yang akan meningkatkan nilai eksport produk halal kita dengan kadar segera," katanya.
Malaysia sangat proaktif dalam mempelawa negara-negara serantau untuk meneroka sektor halal, khususnya pensijilan halal di negara ini (kredit foto: Instagram Tengku Zafrul)
Tambah beliau lagi, potensi pasaran halal serantau yang kini mencecah AS$1.3 trilion (RM5.63 trillion) juga menjadi penggerak pakatan Malaysia dan Indonesia menggiatkan usaha meningkatkan perdagangan intra-ASEAN terutamanya produk halal.
"Malaysia dan Indonesia berperanan sebagai pemangkin kepada usaha ini kerana kedua-duanya merupakan ekonomi Islam terbesar di rantau ini.
"Usaha memperkukuh dagangan halal antara negara ASEAN akan meletakkan ASEAN sebagai blok ekonomi halal yang berdaya saing," katanya.
Menurut Khairul, ketiga-tiga hasil strategik itu menepati kerangka Diplomasi Halal yang dikeluarkan oleh kerajaan menerusi HDC bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.
Beliau berkata, inisiatif-inisiatif ini akan diperincikan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) pada 29 Mei yang akan dipengerusikan oleh Ahmad Zahid sebelum dimuktamadkan oleh Sekretariat ASEAN secara rasmi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) dalam membawa masuk pelaburan halal ke Malaysia (kredit foto: Facebook Ahmad Zahid)
Diplomasi Halal
Khairul berkata, konsep diplomasi halal yang diterajui Ahmad Zahid tertumpu kepada perkongsian kepakaran Malaysia untuk membangunkan ekosistem halal dengan rakan-rakan negara lain, terutamanya di ASEAN.
Melalui HDC, Khairul berkata Malaysia proaktif dalam memperluas pengaruh industri halal ke pasaran bukan tradisional seperti Afrika Utara, Asia Tengah dan Asia Barat berlandaskan strategi Diplomasi Halal.
"Kita tidak boleh bergerak bersendirian. Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama sebagai satu entiti halal ASEAN untuk memenuhi permintaan pasaran global halal yang kini hanya mampu dipenuhi 20 peratus oleh semua negara pengeluar.
"HDC juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia untuk mempercepatkan padanan perniagaan antara pemain industri halal Malaysia dan Indonesia termasuk dalam bidang logistik halal, farmaseutikal serta pembangunan Halal Park," katanya.
Menjelang 2030, Malaysia melalui Pelan Induk Industri Halal (HIMP 2030) menganggarkan nilai eksport halal untuk mencecah melebihi RM260 billion dalam enam sektor utama iaitu makanan dan minuman, bahan ramuan, logistik, kosmetik dan nutraseutikal, peranti perubatan serta farmaseutikal.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul bekerjasama dengan HDC dalam menghubungkan sektor halal tempatan dengan negara luar (kredit foto: Instagram Tengku Zafrul)
Transformasi Digital Halal
Bagi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju utama ekosistem halal global, Khairul menggesa pemain industri untuk bertindak lebih agresif dalam merealisasikan transformasi digital sistem halal khususnya berkaitan aspek pensijilan dan standard.
Beliau berkata, transformasi ini penting bagi memperkuat kecekapan dan ketelusan rantaian bekalan halal, selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan pasaran yang semakin canggih.
Sehubungan dengan itu, Khairul berkata, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menjadi pemangkin utama dalam usaha merevolusi sistem halal tempatan dengan menggunakan teknologi seperti rantaian blok (blockchain), kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (IoT).
"Transformasi digital bukan sahaja akan mempercepat proses pensijilan, malah meningkatkan keyakinan pengguna dan memudahkan pemantauan pematuhan standard halal di seluruh rantaian nilai.
"Malaysia yang selama ini menjadi penanda aras dalam pembangunan industri halal global, kini berdepan cabaran untuk kekal relevan dalam era digitalisasi," katanya.
Justeru, menurut Azwan, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemain industri dan penyelidik STI amat diperlukan bagi merealisasikan ekosistem halal digital yang mampan dan berdaya saing.
Waktu Solat


29 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:44 (30 Apr 2025)

