May 13, 2025 7PM
Pulau Pinang tubuh Majlis Industri Halal Negeri Pertama
Pulau Pinang mencipta sejarah baru-baru ini apabila negeri majoriti bukan muslim itu menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) iaitu majlis industri Halal pertama Malaysia.
Majlis tersebut bertujuan untuk menyokong pertumbuhan industri Halal di Pulau Pinang, sekaligus menyumbang kepada matlamat negara dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Halal global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi sebuah kenyataan berkata, penubuhan MPIHPP itu mempamerkan kerjasama erat antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Penang Halal International (PHI).
“Usaha ini memperlihatkan komitmen tinggi melalui MAINPP dan PHI dalam memasarkan produk halal ke peringkat antarabangsa serta melahirkan usahawan tempatan yang kompetitif.
Ahmad Zahid selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia merasmikan pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) (kredit foto: Facebook Ahmad Zahid)
“Dalam memperkukuh ekosistem halal yang lebih sistematik, mampan dan berdaya saing, Negeri Pulau Pinang menjadi negeri pertama menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri,” katanya
Ketika merasmikan program Pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Penang Halal International Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli MPIHPP kepada Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri juga diadakan dalam majlis yang sama.
Halal Development Corporation (HDC) dalam sebuah kenyataan pula berkata, penubuhan MPIHPP itu mencerminkan pendekatan proaktif negeri itu dalam menepati objektif negara dan menonjolkan peranan Pulau Pinang dalam ekonomi halal global.
Pertukaran MOU antara Penang Halal International Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) (kredit foto: Facebook Ahmad Zahid)
“Bilangan syarikat dengan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah menginjak naik daripada 56 pada 2008 kepada 1,805 buah syarikat pada Oktober 2024.
“Menariknya, lebih daripada separuh syarikat yang diiktiraf ini dimiliki oleh pengusaha bukan Muslim, termasuk bukan Bumiputera dan syarikat asing yang menunjukkan kepercayaan meluas terhadap sijil Halal Malaysia.
“Penubuhan MPIHPP juga selari dengan dasar-dasar negara bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus industri Halal dengan lebih teratur dan telus seperti Polisi Halal Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya dalam sebuah hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid bersama Khairul Azwan (dua dari kanan) (kredit foto: Facebook Halal Development Corporation)
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDC, Khairul Azwan Harun turut hadir mengiringi Ahmad Zahid sebagai wakil HDC semalam.
Tambah HDC lagi, Pulau Pinang turut mengurangkan tempoh masa kelulusan dari 90 kepada 30 hari pekerja sejak November 2023, menggalakkan lebih banyak perniagaan untuk mendapatkan sijil halal.
Waktu Solat


13 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:40 (14 May 2025)

