May 20, 2025 3PM
Rakyat diseru solat hajat, Qunut Nazilah untuk Gaza
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru rakyat Malaysia mengadakan solat hajat dan Qunut Nazilah ketika rejim Zionis giat melancarkan serangan berganda di Gaza.
Na’im menerusi sebuah kenyataan berkata, ibadah di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu dilakukan sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza sekian lama dizalimi tentera Israel.
“Dalam tempoh yang amat kritikal ini rejim Zionis sedang menggandakan serangan dan tekanan ke atas bumi Gaza yang telah sekian lama dizalimi.
Qunut Nazilah lazim dibaca ketika menunaikan solat fardhu pada rakaat terakhir (kredit foto: Malaysiakini)
“Justeru, sebagai umat Islam yang prihatin dan bersaudara, marilah kita bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di sana daripada sebarang bentuk kezaliman dan kemusnahan,” katanya dalam sebuah hantaran di Facebook.
Menurut beliau, semua masjid dan surau di bawah seliaan JAKIM dan JAWI akan dimanfaatkan untuk inisiatif berkenaan.
Beliau turut menyeru imam-imam masjid dan surau JAKIM serta JAWI untuk memimpin Qunut Nazilah ketika solat berjemaah, khususnya pada Subuh, Maghrib dan Isyak.
Na’im sebagai Menteri Agama berasa tanggungjawab untuk memanggil umat Islam di Malaysia bersolidariti (kredit foto: Malaysiakini)
Qunut Nazilah adalah doa khas untuk meminta bantuan daripada Allah SWT dan dibaca ketika solat sewaktu peristiwa atau musibah tertentu menimpa umat Islam.
Menurut beliau, antara ibadah lain termasuk memperbanyak doa-doa terutamanya tertumpu kepada keselamatan rakyat Palestin serta pembebasan bumi Al-Quds itu.
“Semoga usaha ini menjadi manifestasi solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT,” kata Na’im.
Waktu Solat


21 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Isha
pada
20:35

