Jun 06, 2025 7PM
Restoran Yik Mun diiktiraf Halal selepas 99 tahun beroperasi
Restoran kopitiam terkemuka, Yik Mun di Tanjung Malim tular di media sosial baru-baru kerana diiktiraf dengan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) selepas beroperasi selama tiga generasi.
Pendedahan dibuat pengguna akaun X @AshraffMokhtar itu menarik perhatian ramai kerana sebelum ini ia pernah diancam boikot kerana tidak mempunyai sijil halal.
Ashraff berkata, pensijilan Halal itu meliputi kesemua 145 hidangan termasuk Pau, Kuey Teow, Yong Tau Foo dan Mee Kari serta terpakai kepada syarikat, premis perniagaan dan produk-produk keluarannya yang lain.
Menurut tangkapan skrin yang dikongsikan di hantarannya, status Halal bagi restoran kopitiam itu akan luput dalam masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi.
Pendedahan status halal restoran yik mun di X tiba-tiba tular hingga mencetus polemik
Melalui semakan Kinihalal sehingga laporan ditulis petang ini, hantaran @AshraffMokhtar itu menerima pelbagai reaksi terutama kerana status pemilikan pengusahanya yang bukan beragama Islam.
Seorang pengguna akaun @justalhafiz antara individu yang menyokong pengiktirafan Halal ke atas restoran bukan milik Bumiputera itu.
Bahkan individu itu berkata dia adalah seorang yang berpegang kepada konsep Halalan Toyyiban iaitu makanan harus suci, bersih dan sihat.
“Ramai salah faham tentang hantaran ini. Sijil Halal JAKIM bukan sekadar Halal tapi juga toyyiban.
“Kedai Melayu berkemungkinan besar Halal tetapi tidak semestinya toyyiban memandangkan skop toyyiban itu besar.
Satu hantaran emel berkaitan status Halal restoran Yik Mun disunting (kiri) sebelum dijelaskan semula oleh Bahagian Hab Halal, JAKIM menerusi media sosial (kredit foto: Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM)
“Persoalannya, kalau kedai Cina boleh dapat sijil JAKIM, kenapa kedai Melayu susah nak dapat?,” soalnya di ruangan komen.
Seorang pengguna dengan nama akaun @Fatulamnan pula berkata, proses mendapatkan sijil Halal khususnya di Malaysia adalah sukar dan memakan masa kerana ia merangkumi pelbagai aspek.
“Pensijilan Halal sudah setaraf dengan program keterjaminan makanan Amalan Perkilangan Baik (GMP).
“Semua bahan mentah seperti daging kecuali bahan mentah segar perlu mendapatkan sijil Halal yang diiktiraf sehingga penapis air juga perlu ada sijil Halal,” katanya.
Bahagian Hab Halal, JAKIM menjelaskan status Halal restoran terkemuka itu apabila timbul dakwaan pengusaha premis itu cuba memanipulasi pelanggan Muslim pada tahun 2019 (kredit foto: Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM)
Pada 2019, JAKIM melalui Bahagian Hab Halalnya memuat naik kenyataan menjelaskan SPHM hanya diberikan kepada premis yang membuat produk pau sahaja, iaitu pau Yik Mun.
Bagaimanapun, premis makanan Yik Mun ketika itu belum memiliki SPHM.
Menurut seorang lagi pengguna X @mengkudu_masam, pengiktirafan Halal berpotensi membuka peluang baru buat mana-mana restoran yang ingin meluaskan legasi mereka ke persada antarabangsa.
Katanya, pengusaha bumiputera khususnya beragama Islam harus berpandangan jauh dan mengikuti jejak langkah yang sama untuk menembusi pasaran Halal.
“Peniaga Melayu tidak tahu kalau mereka mempunyai sijil Halal Malaysia, mereka mempunyai potensi untuk pergi ke pasaran yang lebih besar dan lebih hebat.
Industri Halal meliputi pelbagai sektor daripada pembuatan makanan hingga penyimpanan dan penghantaran produk seluruh dunia
“Kalau mereka berpandangan jauh dalam perniagaan mereka, langkah pertama yang mereka akan buat adalah meneroka pasaran Halal,” jelasnya.
Pengguna dengan nama @CryformeKL berkata, pengguna Muslim juga memainkan peranan dalam menyokong premis-premis perniagaan yang belum mempunyai sijil halal bagi mendapatkan pengiktirafan itu upaya pengusaha lain akan mengikut langkah yang sama.
“Kedai-kedai lain akan rasa berbaloi untuk memohon sijil Halal apabila mereka nampak ada permintaan tinggi dalam pasaran Halal,” ujarnya.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di portal rasminya, nilai industri Halal dianggarkan mencecah AS$3.6 trilion (RM129.5 trilion) dalam masa satu dekad akan datang dengan AS$7.7 trilion (RM32.6 trilion) daripadanya disumbangkan oleh pengguna Muslim.
Dalam masa tiga hari, hantaran @AshraffMokhtar di X itu telah mencapai 602.3 ribu tontonan, 5.1 ribu tanda suka, 2.3 ribu siar semula, 657 tanda simpan dan 61 komen dalam masa tiga hari.
Waktu Solat


07 Jun 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:40

