Nov 06, 2025 7AM
Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal (PEH25) perkukuh profesion Eksekutif Halal negara
Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 (PEH25) bukan sahaja menjadi medan perbincangan, namun memartabatkan profesion Eksekutif Halal sebagai tonggak utama yang menjaga integriti halal dalam rantaian bekalan produk dan perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata sedemikian ketika menghadiri majlis tersebut di Bangi Avenue Convention Centre pada 28 Oktober lalu.
“Persidangan ini menghimpunkan hampir 300 pemain industri halal dari seluruh negara untuk bertukar pandangan, menyelaras pemahaman dan mengemas kini pengetahuan terkini mengenai polisi serta standard pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan.
Menurut CEO itu, acara keempat persidangan tersebut diadakan dan ia mengetengahkan 20 orang ahli panel meliputi pelaksana dasar, pakar teknikal, pentadbir industri dan tokoh syariah untuk berkongsi kepakaran.
Katanya, inisiatif itu selari dengan aspirasi negara dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi halal.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa (kredit sumber: UNITI Asia)
Ketika majlis itu, antara sorotan menarik termasuk sesi syariah bertajuk Navigating Alcohol and Cochineal Issues in Halal Certification oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil yang menggariskan isu-isu berbangkit dalam proses audit halal terutamanya sektor pemprosesan makanan dan makanan tambahan.
Persidangan tersebut juga menekankan inovasi teknologi melalui pembentangan The Future of Halal Verification: Blockchain and AI as Catalysts for Transparency and Innovation oleh wakil AlBukhary International University, Abu Bakar Ngah yang menjelaskan peranan teknologi digital dalam menjaga ketelusan, integriti dan pengesanan sumber produk halal.
Mengupas lanjut cabaran teknikal pengeluar produk halal pula, ahli Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Ketua Jabatan Halal A. Clouet Malaysia Sdn. Bhd, Mohammad Hisham Talib menegaskan keperluan sistem pematuhan teknikal yang lebih kukuh melalui pembentangan bertajuk Technical Challenges: Detection of Porcine DNA in Halal-Certified Products – Causes, Accountability, and Solution.
Turut menjadi tumpuan adalah sesi berkaitan standardisasi antarabangsa yang dibentangkan oleh Puan Fakheezzah Binti Borhan, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Standard Malaysia, melalui tajuk Implementation of SMIC Standards for International Halal Application yang menggariskan keperluan penyelarasan standard halal untuk memperluas akses pasaran global.
Sementara itu, Amir Hamzah menekankan komitmen Kolej UNITI Port Dickson dalam mengembangkan pendidikan halal melalui program Mobiliti dan Halal Edutourism di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 mencerminkan usaha giat industri halal Malaysia ke arah mengukuhkan kedudukan negara dalam sektor halal global. (kredit foto: Instagram Elyas Harun)
“Berbekalkan kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang pendidikan halal, Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre bertekad menerajui Halal Edutourism dan sudah bersedia.
“Kita telah menggerakkan usaha ini pada PEH24 lalu seterusnya menyertai promosi di Malaysia Fair di Tokyo, World Expo di Osaka dan Seoul, Korea Selatan baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata, program itu membuka peluang buat pelajar, institusi dan industri luar negara untuk mengenali sistem pensijilan halal Malaysia secara lebih mendalam, termasuk melalui program lawatan industri, sesi klinikal pensijilan halal, penempatan latihan industri serta kerjasama akademik antarabangsa.
PEH25 dijangka terus menjadi platform strategik dalam memperkukuh kefahaman ekosistem halal kebangsaan, mempertingkat kompetensi eksekutif halal dan memperluas jaringan profesional halal negara ke peringkat global.
Waktu Solat


09 Nov 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:00
















