Back To Halal News

Mar 25, 2025 4PM

Roblox jadi platform World #QuranHour 2025 galak kanak-kanak tadabbur al-quran

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) menganjurkan World #QuranHour 2025 buat julung kali melalui versi aplikasi permainan Roblox bagi menarik perhatian kanak-kanak untuk memahami isi al quran dalam bentuk yang lebih ringan.

 

Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan WUIF, Norsyamimi Syarah Mohd Ghazni berkata, inisiatif berkenaan menjadi kelainan bagi penganjuran World #QuranHour kali ini dengan kerjasama dan bimbingan pencipta kandungan terkenal, Afiq Mat Zaid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zyd.

 

“Sebelum ini timbul persoalan sesuai ke World #QuranHour untuk kanak-kanak kerana ia mungkin sesuatu perbahasan yang berat. Adakah kanak-kanak boleh faham kalau kita tadabbur al-Quran?

 

"Alhamdulillah tahun ini kita jumpa cara, kita masuk ke dalam aplikasi Roblox dan sediakan World #QuranHour secara maya," katanya seperti dipetik Sinar Harian.


Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan WUIF, Norsyamimi Syarah Mohd Ghazni (kredit foto: Haizir Othman)


Menurut Norsyamimi, World #QuranHour yang dijalankan di aplikasi Roblox itu diadakan pada 21 Mac, Jumaat pada jam 10.00 malam

 

Tambah Norsyamimi melalui sesi temubual Interviu 10 Tahun World #QuranHour di Facebook Sinar Harian, WUIF turut mengadakan Pasar Ummah Ikhlas sebagai inisiatif umat Islam mengumpul infak dalam pelbagai bentuk untuk disumbangkan menjelang hari raya Aidilfitri nanti. 

 

“Kita sediakan satu ruang, Pasar Ummah Ikhlas dimana ada beberapa aktiviti kita akan anjurkan, contohnya ialah jualan amal bagi sesiapa sahaja yang ingin menjadi vendor ataupun menjual barang, kemudian hasil daripada jualan tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung wakaf pelajar UIA. 

 

“Begitu juga ada infak, kalau ada sesiapa yang nak infakkan barangan basah ataupun barangan makanan yang boleh dimanfaatkan oleh orang-orang yang memerlukan” katanya lagi.


Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah (kredit foto: Facebook My #QuranTime)


Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah mencemar duli untuk World #QuranHour 2025 yang berlangsung hari ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 

 

Kehadiran Tunku Azizah diiringi isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan ramai lagi. 

 

World #QuranHour tahun ini mengangkat tema 'Saving the Ummah' bagi menekankan kepentingan kesatuan ummah dalam memperjuangkan agama ALLAH SWT.

 

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal anjuran WUIF itu juga dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama strategik UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MPQM), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Rumah Ngaji dan Karya Bestari.

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque
mosque
mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

hiphip

Media Partner for

Hei 2023Hei 2023Malaysia Showcase