May 08, 2025 12PM
Setahun selepas dilancarkan, Program Pembiayaan Mikro Zakat Pertama Alliance Islamic Bank menampakkan hasil
Pada Disember 2023, Alliance Islamic Bank Berhad telah melancarkan Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM), iaitu sebuah inisiatif dana sosial Islam.
Tujuan AZAM adalah bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan usahawan mikro asnaf melalui akses kewangan dan pembiyaan perniagaan.
Melalui program ini, peserta yang layak akan menerima pembiayaan mikro sebanyak RM5,000 yang disalurkan dari dana zakat wakalah dan berasaskan prinsip Qard. Penerima hanya perlu membayar balik dana pokok pembiayaan tanpa adanya elemen untung atau bunga dalam tempoh masa setahun. Dana yang dibayar balik dalam tempoh setahun akan disalurkan semula ke tabung zakat untuk kitaran agihan pembiayaan seterusnya kepada asnaf-asnaf yang lain.
Sejak pelancaranya, program ini telah membuahkan kesan yang positif dan Kinihalal melaporkan perkembangan terkini usahawan asnaf yang telah menerima dana dari Alliance Islamic Bank melalui program AZAM.
Salah seorang penerima manfaat program ini ialah Puan Siti Patonah Yasin, seorang usahawan kerepek kecil-kecilan.
Pada awalnya, beliau berdepan kesukaran untuk membeli bahan mentah seperti keladi akibat kekurangan modal. Namun, dengan sokongan program AZAM, beliau kini mampu mengembangkan perniagaannya dan menjana pendapatan yang lebih stabil.
Penerima AZAM, Siti Patonah sudah menceburi bidang PMKS sejak tahun 2011.
Beliau berkata keperluan untuk membantu keluarga selepas suami jatuh sakit menjadi titik tolak perubahan hidupnya.
“Sejak suami sakit tu, saya tak tahu nak buat kerja apa sebab sebelum ni saya jadi pembantu tabika selama 8 tahun.”
“Bila tengok suami sakit, asyik ulang-alik ke hospital, saya takut sebelum kena buang kerja, jadi saya berhenti sendiri.”
Ketiadaan rekod kredit yang kukuh dan kedudukan kewangan yang tidak stabil menyukarkan Siti Patonah untuk mendapatkan pembiayaan daripada kebanyakan institusi kewangan.
“Masa tu tak ada wang nak beli barang. Keladi pun harga terlalu tinggi masa tu. Nak gulung duit untuk berniaga pun dah tak ada,” jelasnya.
Beliau menyifatkan program AZAM sebagai penyelamat:
“Nasib baik ada AZAM ni, jadi saya senang pakai duit tu. Guna untuk beli barang. Saya tak guna untuk apa-apa pun, khas untuk beli barang niaga sahaja,” katanya.
Bagi Suhaila Yusof, seorang lagi usahawan mikro asnaf, perjalanan kearah keusahawanan bermula selepas kehilangan suami. Desakan hidup dan tanggungjawab menyara tujuh orang anak mendorong beliau menceburi sektor PMKS sebagai sumber pendapatan utama.
Beliau turut melahirkan rasa Syukur apabila menerima bantuan pembiayaan bagi mengusahakan pakaian terpakai (bundle), yang menjadi langkah awal ke arah kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.
Penerima AZAM, Suhaila Yusof menjalankan perniagaannya di atas talian dengan bantuan anak-anaknya.
Suhaila berkata beliau menjual pelbagai barangan seperti pakaian, seluar dan cermin mata hitam – apa saja yang boleh dijual, akan dijual.
“Saya jual baju, saya jual seluar, yang baru. Saya jual cermin mata hitam. Apa saja yang boleh dijual, saya jual,” katanya.
Menurut Suhaila, sebelum menyertai program, beliau hanya menjual pakej pakaian secara kecil-kecilan dan tidak ramai yang menceburi perniagaan sepertinya pada waktu itu,
“Sebelum ni, saya buat pakej. Daripada pilihan seluar-baju, tak pun pilihan seluar-topi. Sebelum ni, tak ramai yang berniaga macam tu.” Namun, apabila pakej yang dijualnya mula menjadi ikutan usahawan lain, Suhaila mula berdepan cabaran persaingan sengit. Sebagai usahawan asnaf dengan sumber yang terhad, Suhaila mengakui tidak mampu lagi bersaing dari segi harga dan bekalan.
“AZAM benar-benar membantu kami para peniaga asnaf untuk mengembangkan perniagaan. Bukan setakat bantuan pembiayaan, saya juga berpeluang menyertai kursus keusahawanan untuk meningkatkan kemahiran dan mengukuhkan perniagaan saya,” jelas Suhaila.
Untuk fasa permulaan, Alliance Islamic Bank telah memperuntukkan dana sebanyak RM225,000, yang telah dimanfaatkan oleh 45 penerima yang layak di bawah program ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim (kredit foto: BERNAMA)
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim menyatakan bahawa hasil dapatan daripada tinjauan serta penilaian impak terhadap 40 peserta program AZAM menunjukkan keputusan yang sangat memberangsangkan. Program ini berjaya meningkatkan pendapatan perniagaan para peserta, dengan purata kenaikan antara 25% sehingga 30%.
Hasil kajian mendapati 6 daripada 10 peserta bersetuju bahawa program ini memberikan impak ketara terhadap pertumbuhan perniagaan mereka. Selain itu, majoriti peserta mengakui bahawa pembiayaan AZAM telah membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga mereka.
Lebih menarik lagi, 8 daripada 10 peserta menyatakan hasrat untuk menggalakkan lebih ramai usahawan asnaf menyertai program ini. “Kami berharap kejayaan program AZAM dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan asnaf untuk bangkit dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Setakat Mac 2025, sebanyak RM450,000 daripada dana zakat wakalah telah diagihkan kepada 103 penerima, kata Rizal.
Beliau turut mengumumkan bahawa sejumlah RM225,000 tambahan akan disalurkan kepada 45 penerima baharu program AZAM yang dijadualkan pada suku kedua tahun ini.
Alliance Islamic Bank terus komited dalam memperluaskan sumbangan zakat wakalah kepada individu dan syarikat sebagai usaha memperkukuh dana AZAM. Inisiatif ini turut membuka ruang kepada masyarakat untuk turut serta merealisasikan kejayaan program tersebut.
Melalui program AZAM, Alliance Islamic Bank giat memperkasa usahawan kecil-kecilan asnaf dengan menyediakan akses kepada pembiayaan mampu milik, sekaligus menyokong usaha mereka mencapai kestabilan ekonomi yang mampan.
Pelancaran Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) dan penerimaan dana zakat wakalah daripada Lembaga Zakat Selangor.
Melalui kerjasama strategik antara Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), program inovatif ini telah diperkenalkan bagi membentuk ekosistem kewangan yang lebih inklusif. Inisiatif ini bukan sahaja berpaksikan pemerkasaan golongan asnaf melalui proses yang sistematik, malah turut membuka peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup, seperti Siti Patonah dan Suhaila Yusof, yang kini mampu mengurus ekonomi keluarga dengan lebih mampan.
Pada Mac 2022, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan program pembiayaan mikro oleh Alliance Islamic Bank. Dana untuk pembiayaan ini disalurkan daripada dana wakalah yang diurus oleh LZS, dengan mekanisme yang mematuhi prinsip dan undang-undang Syariah.
Sebagai rakan strategik, AIM memainkan peranan penting dalam menyelia pelaksanaan program AZAM. Ini termasuk mengenal pasti senarai asnaf yang berpotensi, melatih peserta serta menyediakan infrastruktur bagi pengeluaran dana dan kutipan pembayaran. Sementara itu, LZS bertanggungjawab mengesahkan status asnaf penerima serta menyalurkan dana zakat wakalah kepada program AZAM yang dikelolakan oleh Alliance Islamic Bank.
Setiap pemohon yang berkelayakan perlu berdaftar di bawah AIM dan LZS. Dana yang diterima hanya boleh digunakan untuk tujuan perniagaan dan bukan bagi keperluan harian.
Program ini berlandaskan prinsip Syariah melalui mekanisme Qard, iaitu pembiayaan tanpa bunga atau kadar faedah. Pendekatan ini membolehkan usahawan mikro dalam kalangan asnaf hanya perlu membayar semula jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan, tanpa sebarang caj tambahan.
Selain itu, akses kepada sokongan modal dan kemudahan kewangan turut diperluaskan kepada komuniti asnaf. Usaha ini membuka lebih banyak peluang kepada golongan tersebut untuk meningkatkan taraf ekonomi secara berdikari, tanpa bergantung kepada bantuan institusi kewangan arus perdana.
Waktu Solat


09 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:20

