May 26, 2025 5PM
Vietnam tumpu 4 negara ASEAN, tembusi pasaran Halal
Perkembangan pasaran Halal ASEAN yang sejajar dengan pertumbuhan pesat populasinya, menjadikan rantau itu destinasi eksport menarik buat pengusaha di Vietnam.
Negara-negara anggota seperti Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura antara pengimport terbesar produk dan makanan berunsurkan pertanian dengan komoditi utama tertumpu kepada beras, sayur-sayuran, buah-buahan, kacang gajus, kopi, koko dan makanan laut.
Rantau yang meliputi 10 buah negara itu menempatkan 700 juta penduduk keseluruhan dengan 240 juta adalah warga Muslim, menjadikan pasaran Halal ASEAN terbaik untuk ditembusi usahawan-usahawan Vietnam khususnya dalam sektor perladangan dan pemprosesan makanan.
Menurut laporan Việt Nam News, produk pertanian dan pemprosesan makanan merupakan teras kepada ekosistem Halal dan menyumbang kepada sebahagian besar daripada nilai pasaran halal global.
Indonesia sebagai pengguna produk Halal terbesar di ASEAN menjadi antara pasaran menarik untuk ditembusi pelaburan berteraskan Halal (kredit foto: ASEAN)
Peningkatan permintaan produk Halal dalam rantau ASEAN dan kedudukan geografi yang mengurangkan kos pengangkutan memberikan perusahaan Vietnam kelebihan untuk berdaya saing berbanding negara lain.
Kaunselor Perdagangan Vietnam di Indonesia, Phạm Thế Cường berkata, Indonesia merupakan pengguna terbesar Halal di ASEAN dengan 87 peratus daripada populasinya adalah Muslim.
Sehubungan dengan itu, pasaran Halal Indonesia dianggarkan mencapai AS$282 billion (RM1,188 billion) atau 11.34 peratus daripada perbelanjaan pengguna produk Halal global pada tahun ini.
Kini, produk buatan Vietnam telah menembusi pasaran Indonesia dan menunjukkan peningkatan perolehan eksport, menawarkan kelebihan signifikan buat perusahaan yang sedang meneroka laluan langsung menuju segmen produk Halal.
JAKIM merupakan pihak berkuasa yang menyelia pensijilan Halal di Malaysia dan menetapkan piaiwai Halal paling ketat di dunia (kredit foto: Malaysiakini)
Penerbangan terus antara Vietnam dan Indonesia juga melancarkan haluan perdagangan bagi barang pertanian mudah rosak untuk menjaga kualiti produk.
Pejabat Perdagangan Vietnam di Malaysia pula berkata, eksport seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran dan kopi mengalami pertumbuhan memberangsangkan pada tahun lalu.
Meskipun pensijilan halal bagi produk import adalah tidak diwajibkan, kebanyakan pengimport Malaysia lebih menggemari produk yang diiktiraf Halal bagi memenuhi keperluan pengguna tempatan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi sistem pensijilannya proaktif dalam membangunkan industri Halal di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam perkembangan lain, Singapura pula mewakili pasaran khusus namun berpotensi tinggi bagi memasarkan produk pertanian Halal kerana wujud permintaan untuk penggunaan berkualiti dan kedudukannya sebagai hab pemindahan dan penghantaran serantau.
Makanan yang disahkan Halal juga meyakinkan pengguna yang produk tersebut adalah bersih, selamat dan disediakan secara beretika (kredit foto: Trip Advisor)
Permintaan bagi makanan Halal bukan sahaja datang daripada kalangan Muslim namun merangkumi kumpulan pengguna yang berminat dalam penggunaan produk yang berkualiti, selamat dan beretika.
Negara terkecil di Asia Tenggara itu juga memainkan peranan sebagai agen kemasukan produk Halal Vietnam menembusi sistem pengedaran Halal serantau dan global.
Sementara itu Kaunselor Perdagangan Vietnam di Filipina, Phùng Văn Thành berkata, negara yang mempunyai populasi Muslim ketiga terbesar di rantau itu mengimport produk Halal bernilai AS$100 juta (RM421 juta) dari Vietnam setiap tahun ketika 2020 hingga 2024.
Antara pembekal utamanya ialah Amerika Syarikat, New Zealand dan India manakala hanya dua peratus import dari negara anggota ASEAN yang lain, menunjukkan peluang yang belum dimanfaatkan oleh perusahaan Vietnam.
Data yang menunjukkan bagaimana platform atas talian membantu jenama perniagaan dikenali pengguna tempatan (kredit foto: cacaFly Malaysia)
Pejabat Perdagangan Vietnam di Indonesia dalam sebuah kenyataan, mencadangkan rakan export untuk bekerjasama dengan pengedar tempatan untuk mengakses kedai-kedai tradisional dan pasaraya seperti Hypermart, Carrefour Transmart, Giant, Lotte Mart, Superindo, Food Mart, Hero and Food Hall.
Penglibatan yang lebih baik dalam e-dagang juga adalah penting memandangkan Indonesia antara negara anggota ASEAN yang menerajui perniagaan runcit atas talian dengan platform utama seperti Shopee, Tokopedia, Lazada dan Tik Tok Shop.
Kaunselor Perdagangan di Malaysia, Lê Phú Cường pula menasihatkan perusahaan Vietnam menjalinkan hubungan dengan pengimport makanan disahkan Halal dan rantaian runcit yang besar misalnya NSK Trade City, Mydin dan Ecoshop.
Penyertaan berkala dalam ekspo perdagangan tahunan turut memberikan peluang utama dalam padanan perniagaan dan pendedahan terhadap pasaran.
Kaunselor Perdagangan Vietnam di Singapura, Cao Xuân Thắng yang berkongsi perspektif itu, menekankan kepentingan penyertaan perusahaan dalam ekspo perdagangan untuk meningkatkan perdagangan Halal dengan rakan dagang di ASEAN.
Waktu Solat


28 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:13

