May 05, 2025 4PM
2,474 bekas ahli GISBH terlibat program pemulihan akidah MAIS
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berharap agar Program Insan Rabbani tersebut dapat memberi ruang kepada 2,474 bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) untuk bertaubat secara sukarela dan memulihkan akidah dari fahaman yang menyeleweng serta kembali kepada pegangan ahli sunnah wal jamaah.
MAIS menerusi sebuah kenyataan berkata, Program Insan Rabbani yang sedang giat dijalankan itu melibatkan 1,410 orang kanak-kanak dan 1,064 orang dewasa sejak Februari lalu dan akan menamatkan proses pemulihan pada Ogos depan.
Menurut MAIS, inisiatif itu tertumpu kepada pemulihan akidah bekas ahli GISBH yang merangkumi empat jenis fasa berbeza iaitu Fasa Pemulihan, Fasa Pemantapan dan Pengukuhan, Fasa Pasca Pemulihan dan Fasa Pemantauan dan Khidmat Sokongan.
“Katanya, ia meliputi Fasa Pemulihan serta Fasa Pemantapan dan Pengukuhan masing-masing berjalan selama enam bulan, diikuti pemantauan menerusi Fasa Pasca Pemulihan dan Fasa Pemantauan dan Khidmat Sokongan.
Pengerusi MAIS, YAD Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin (kredit foto: Facebook Majlis Agama Islam Selangor)
“Sehingga kini, MAIS telah melaksanakan Program Pemulihan Akidah Bagi Kanak-Kanak GISBH pada September hingga Disember 2024 yang lalu melibatkan kanak-kanak GISBH di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menerusi sebuah hantaran Facebook.
Sehubungan dengan itu, MAIS mengadakan Majlis Ramah Mesra Pengerusi MAIS, YAD Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin bersama Peserta Program Insan Rabbani Tahun 2025 semalam di SRA Bandar Country Homes, Rawang bagi menyantuni bekas ahli GISBH.
Ketika majlis berlangsung, MAIS menyampaikan simbolik serahan bantuan fidyah MAIS bernilai RM77,700.00 iaitu sebanyak 350 kotak makanan kering kepada penerima yang memerlukan.
Penyerahan simbolik bantuan fidyah MAIS kepada penerima yang memerlukan (kredit foto: Facebook Majlis Agama Islam Selangor)
350 kotak makanan kering, sebanyak 200 kotak diagihkan kepada penerima melalui SRA Bandar Country Homes, Rawang; 50 kotak melalui Sekolah Rendah Agama Sijangkang, 50 kotak kepada penerima melalui Sekolah Rendah Agama Sg Kantan dan 50 kotak melalui Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Set kotak makanan kering tersebut mengandungi makanan asas seperti beras, minyak masak, bihun, gula, tepung gandum, kicap manis dan susu pekat manis.
Selain itu, MAIS bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut menganjurkan Program Rehabilitasi Secara Sukarela Ahli GISBH yang disertai oleh tujuh orang peserta dari Selangor dan 11 orang peserta dari Johor selama 3 bulan bermula 7 November 2024 hingga 4 Februari 2025.
Waktu Solat


07 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:42 (08 May 2025)

