May 06, 2025 4PM
34 cawangan Gloria Jean’s Coffee terima sijil halal JAKIM
Sebanyak 34 cawangan Gloria Jean’s Coffees (GJC) menerima pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini.
Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dalam sebuah kenyataan berkata, penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada cawangan-cawangan milik anak syarikatnya itu, iaitu Wonderful Lifestyle Sdn Bhd disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M Taib.
Nor Azam berkata, beliau berbangga akan pencapaian itu yang merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi keyakinan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan pengusaha tempatan.
“Pensijilan halal bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran, ia adalah lambang integriti, disiplin dan komitmen dalam menyampaikan produk yang bersih dan berkualiti kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M Taib (kredit foto: Malaysia Tribune)
“Kejayaan ini adalah hasil kolaborasi erat antara pihak pengurusan Gloria Jean’s Coffees dan bimbingan daripada JAKIM serta sokongan berterusan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya seperti dipetik Bernama.
Pernas berkata, pengeluaran sijil rasmi oleh JAKIM juga menandakan perakuan terhadap pelaksanaan sistem halal menyeluruh yang merangkumi dokumentasi, proses operasi dan pemantauan yang ketat.
Menurutnya, pengiktirafan halal terhadap Gloria Jean’s Coffee itu sekali gus meletakkan jenama kopi itu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan rangkaian francais kopi terkenal lain dalam menitikberatkan pematuhan halal dalam operasi mereka.
“Sebagai badan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, proses mendapatkan SPHM oleh JAKIM adalah teliti dan menyeluruh.
Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia di Menara Pernas (kredit foto: Facebook Perbadanan Nasional Berhad)
“Melalui komitmen tinggi daripada pihak pengurusan GJC, kerjasama erat bersama pemegang francais serta pihak JAKIM, kesemua 34 cawangan berjaya memenuhi keperluan pensijilan dengan cemerlang,” katanya.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa projek pematuhan Pensijilan Halal Malaysia telah berlangsung pada 14 Ogos tahun lalu yang melibatkan kesemua 34 cawangan dalam pelaksanaan standard operasi halal menyeluruh.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberikan dana untuk menyokong inisiatif tersebut menerusi bantuan geran pematuhan Pensijilan Halal Malaysia.
Pernas sebagai agensi di bawah KUSKOP akan terus komited membantu memperkasakan usahawan francais di Malaysia untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa dengan membawa jenama yang diyakini serta berkualiti.
Waktu Solat


07 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:42 (08 May 2025)

