Back To Halal News

Jun 12, 2026 10AM

Bagaimana bercucuk tanam membebaskan kita daripada hidup terlalu bergantung?

Nur Amira Afrina

Bercucuk tanam bukan sahaja membantu komuniti untuk lebih mandiri (independent) dalam penghasilan sumber makanan, namun menjadi punca liberalisasi secara psikologi apabila mereka lebih meyakini kemahiran sendiri berbanding bergantung dengan kemudahan di luar.

 

Dalam dunia serba canggih yang menawarkan kemudahan hanya di hujung jari, kita mungkin secara tidak langsung alpa dengan pelbagai aspek kehidupan yang telah kita serahkan dengan rela hati kepada teknologi dan buruh kasar. 

 

Khususnya dalam aktiviti bercucuk tanam, kemudahan tersebut menempatkan kita sebagai pengguna akhir produk dan perkhidmatan, jauh daripada proses sebenar yang membuatkan kita terputus hubungan dan imaginasi dengan apa yang terjadi di alam realiti.

 

Pakar Komuniti di Mukha Tree, Zain Al Haddad berkongsi bagaimana bercucuk tanam walau tampak merenyahkan untuk ramai orang, sebenarnya membawa banyak manfaat berpanjangan yang berbaloi untuk dilaburkan dengan masa dan tenaga. 

 

Kekayaan sebenar adalah kemampuan untuk menghasilkan apa yang dimahukan sendiri.
Sejak penubuhannya pada 2011, komuniti di Mukha Tree telah menanam pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan yang dinikmati oleh mereka sendiri dan pelanggan Mukha Cafe.

 

Zain hanya mula belajar memasak ketika usia beliau menginjak 30 tahun, namun pengalaman itu membuka matanya terhadap lebih banyak kemungkinan lain sekiranya dia terus belajar mandiri dan menimba kemahiran hidup. 

 

“Untuk ramai orang seperti saya, kemudahan membuatkan kami seolah-olah berpenyakit kerana ada banyak benda yang kami sudah tidak boleh buat, malah tidak tahu bagaimana untuk buat hanya kerana sudah terlalu selesa bergantung dengan kemudahan.

 

“Jadi, apabila saya belajar memasak, dan walaupun masih banyak makanan saya masih tidak tahu memasak, saya secara tidak langsung membebaskan diri saya secara psikologi kerana ia memperkasa saya untuk menghasilkan apa yang saya nak sendiri.

 

“Sama juga dengan bercucuk tanam, saya kini tahu bagaimana untuk menanam makanan saya sendiri, menggunakannya dalam masakan dan lebih sukacita, berkongsi manfaatnya dengan komuniti setempat khususnya golongan memerlukan,” katanya. 

 

Bercucuk tanam juga, menurutnya, melebarkan peranan beliau dan komuniti terlibat dalam rantaian bekalan makanan setempat, lalu meletakkan mereka lebih dekat dengan proses pembuatan makanan itu sendiri.

 

Bagi Zain, aktiviti itu walaupun berskala kecil, memanusiakan keseluruhan proses menanam dan menuai hasil bumi buat pengguna di bandar sepertinya. 

 

Terlalu banyak kemudahan membantut imaginasi dan kemampuan sebenar diri.
Kinihalal berpeluang merasai sendiri hidangan yang diperbuat daripada sayur-sayuran di Mukha Tree sewaktu penggambaran. 

 

Adat duduk di bandar seperti TTDI, penduduk setempat dikelilingi pelbagai bentuk kemudahan daripada penghantaran makanan sehingga pengecasan kereta elektrik, mencerminkan kemajuan tempat tinggal mewah itu. 

 

Namun, Zain berkata, apabila terlalu banyak kemudahan muncul, pengguna hilang imaginasi dan keyakinan diri untuk menyelesaikan masalah harian hatta isu kecil sekali pun, termasuk mendapatkan makanan.

 

“Tabiat orang bandar, apabila berdepan masalah misalnya baju terkoyak atau rosak, dia akan hantar baju itu kepada tukang jahit atau buang sahaja kerana dia tidak boleh membayangkan dirinya berkeupayaan untuk menjahit baju itu sendiri.

 

“Seperti makanan, dia tidak boleh membayangkan dirinya sebagai pengeluar hasil bumi walaupun bercucuk tanam tidak semestinya memerlukan tanah yang lapang, bergantung kepada jenis sayuran yang ingin ditanam.

 

“Ada juga faktor masa, dia tidak sabar untuk mendapatkan produk itu. Jika dia membeli atas talian, dia boleh dapatkan sayur-sayuran dalam masa 10 minit, namun kalau dia menanam, dia perlu melaburkan sekurang-kurangnya dua jam sehari sehingga sedia dituai,” katanya.

 

Tambah Zain, kemudahan tersebut mempengaruhi kehidupan komuniti menjadi lebih laju, memupuk masyarakat yang hilang konsep menunggu dan bersabar, sedangkan lebih manis makanan kerana masa dan tenaga yang dilaburkan sendiri lebih dihargai.

 

Berapa ramai pihak terlibat untuk menghasilkan makanan di pinggan kita, sebenarnya?
Hidangan di Mukha Cafe bersumberkan tanam-tanaman yang dibesarkan sendiri, menjadikan produk mereka 100 peratus organik.

 

Di sebalik peti dan rak kedai runcit, ada rantaian bekalan yang memastikan hanya produk berkualiti dan sempurna sampai ke tangan pengguna. Persoalannya, sejauh manakah rantaian itu pergi?

 

Zain menjelaskan, makanan yang pengguna nikmati bermula dengan air hujan yang turun membasahi ladang dan kebun sepanjang tahun. Air hujan itu merupakan baja organik buat tanah pertanian, membawa nutrien dari atmosfera ke daratan.

 

Kemudian, tanah itu dimanfaatkan dengan pelbagai jenis sayuran. Pekebun menanam, membaja, menyiram dan menuai kemudian menghantar kepada kilang untuk diasing, diproses dan dibungkus sebelum disampaikan kepada pasaraya untuk diharga, dipamer dan dijual.

 

“Dalam pinggan kita mungkin ada ayam, buah-buahan, sayur, nasi. Setiap satu makanan itu melalui proses yang panjang dan terperinci untuk sampai ke pinggan kita, tetapi kita tidak sedar kerana kehidupan kita sudah jauh daripada semua proses itu.

 

“Ya, kita membayar sejumlah wang untuk mendapatkan kemudahan itu, tetapi sebagai seorang manusia, adakah kita betul-betul faham apa yang kita bayar itu? Apabila kita tidak nampak proses itu terjadi, sukar untuk kita faham kepentingan membuat makanan sendiri.

 

“Khususnya di kala bermacam berita yang keluar hari ini, ia seakan-akan membangkitkan kita untuk mula mandiri kerana suatu hari nanti, ia mungkin bukan lagi menjadi sebuah kemahuan, namun keperluan,” katanya. 

 

Bersama lebih berimpak, bercucuk tanam tidak perlu menjadi suatu hal yang sukar.
Penerbit Kinihalal, Syilda Ismail mendapatkan nasihat untuk memulakan aktiviti cucuk tanam kecil-kecilan di rumah daripada salah seorang ahli komuniti Mukha Tree, Nazreen Farhan.

 

Bagi pemula, Zain berkata lebih mudah untuk membentuk komuniti tertumpu berbanding bergerak sendirian kerana mereka akan memerlukan banyak sokongan sepanjang belajar dan menyesuaikan diri.

 

Misalnya di Mukha Tree, Zain berkata pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif seperti bengkel dan program kesukarelawanan untuk memperkenalkan orang ramai dengan bercucuk tanam, khususnya di bandar yang jarang mempunyai tanah lapang.

 

Kadangkala, ada peserta mula tertarik untuk turut serta bercucuk tanam kerana terdedah dengan aktiviti tersebut selepas melalui program berbeza seperti Jiujitsu yang diadakan secara berkala di Mukha Tree.

 

“Ada peserta yang datang ke sini bagi tujuan lain, namun selepas mendapat pendedahan berulang terhadap aktiviti utama kami iaitu bercucuk tanam, mereka jadi tertarik untuk belajar dan mencuba juga.

 

“Mereka menanam, mengemas dan makan hasil tuaian mereka bersama-sama di dalam sebuah dulang besar. Ini mewujudkan semangat setiakawan, kekitaan dan keyakinan dalam diri mereka yang sukar untuk dirasai jika mereka bergerak sendiri.

 

“Pada akhirnya, kita semua memerlukan antara satu sama lain. Kita perlukan komuniti dan sokongan untuk belajar serta berkembang dalam suatu bidang baharu, untuk manfaat diri serta masyarakat kita juga,” katanya.

 

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
lantern

12 Jun 2026

Waktu solat berikutnya,

Asr

pada

16:23

lantern
Imsak

Imsak

05:54:00

Fajr

Fajr

06:04:00

Syuruk

Syuruk

07:11:00

Dhuhr

Dhuhr

13:19:00

Asr

Asr

16:23:00

Maghrib

Maghrib

19:23:00

Isha

Isha

20:32:00

quran

Channel Partners