Jun 10, 2026 1AM
Negeri Sembilan komited sokong agenda pembangunan industri halal
Kerajaan Negeri Sembilan komited menyokong agenda pembangunan industri halal yang berupaya memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, potensi industri halal melangkaui sektor makanan dan minuman sahaja, seperti pelancongan, keusahawanan, pertanian, pendidikan, logistik dan sektor sokongan lain yang bukan sahaja menjana peluang ekonomi namun meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, pembangunan industri halal turut menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan negeri atas kemampuannya untuk memberi impak besar kepada pertumbuhan pelaburan dan peluang pekerjaan.

Aminuddin ketika berucap di Majlis Pelancaran NICHE 2026 di Hotel Royale Chulan, Seremban, semalam. (kredit foto: Media Menteri Besar Negeri Sembilan)
“Industri halal mempunyai kesan limpahan ekonomi yang sangat luas. Ia merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperkukuh sektor perkhidmatan, meningkatkan aktiviti eksport serta menarik pelaburan baharu yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Sektor ini dapat memperkukuh imej Negeri Sembilan sebagai negeri progresif, stabil, diyakini pelabur dan bersedia memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan yang berteraskan kemampanan dan nilai sejagat,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika program Negeri Sembilan International Conference and Halal Expo (NICHE) 2026 di Hotel Royale Chulan, Seremban, semalam.
Tambah Aminuddin, kerajaan negeri berperanan membangunkan ekosistem industri halal dengan menyediakan kawasan perindustrian strategik, membangunkan infrastruktur, memudahkan pelaburan dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang menggalakkan pertumbuhan industri berimpak tinggi termasuk halal.

Aminuddin berharap agar NICHE 2026 menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik, penyelidikan berkualiti dan inovasi baharu yang mampu memperkukuh ekosistem halal serta meletakkan Negeri Sembilan dan Malaysia sebagai rujukan utama industri halal di peringkat antarabangsa. (kredit foto: Media Menteri Besar Negeri Sembilan)
Menurut beliau, kedudukan strategik negeri itu di tengah-tengah koridor ekonomi utama negara memberi kelebihan besar untuk timbul sebagai destinasi pilihan pelaburan halal di Malaysia.
“Kita mempunyai rangkaian infrastruktur yang baik, akses kepada pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa, tenaga kerja yang kompeten serta sokongan institusi pendidikan tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan bakat dan penyelidikan berkaitan industri halal,” katanya.
Aminuddin berkata, masa depan industri halal tidak bergantung kepada kemudahan fizikal atau pelaburan sahaja, sebaliknya memerlukan keupayaan melahirkan bakat, menghasilkan inovasi dan membina keyakinan pasaran dunia terhadap standard halal yang negara bangunkan.
Waktu Solat
10 Jun 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:23

