Jan 05, 2026 12PM
Pensijilan halal Gula Rahmah tingkat keyakinan rakyat terhadap gula bersih, selamat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pensijilan Halal Gula Rahmah, semalam bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap jaminan bekalan gula yang bersih, selamat dan mampu milik.
Berlangsung di Bukit Beruntung, Selangor, perasmian itu mencerminkan pengiktirafan rasmi terhadap produk tersebut dalam memenuhi piawaian kebersihan, pematuhan halal selain kawal selia ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HMBE Legacy Sdn Bhd, Ahmad Badurol Hisham Mukhatar berkata, pensijilan halal Gula Rahmah adalah elemen penting untuk membina keyakinan pengguna terhadap rantaian bekalan gula negara, terutamanya dalam pasaran domestik.
“Pensijilan halal ini memberi jaminan kepada rakyat bahawa Gula Rahmah bukan sahaja dikawal dari segi bekalan dan pengedaran, malah memenuhi keperluan asas kebersihan dan halal yang menjadi keutamaan pengguna,” katanya seperti dilapor Nabalus News.

Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pensijilan Halal Gula Rahmah, semalam. (kredit foto: Nabalus News)
Tambah Ahmad Badurol, Gula Rahmah ditawarkan pada harga RM2.70 sekilogram iaitu di bawah harga pasaran semasa walaupun pembekalan produk itu tidak bergantung kepada subsidi kerajaan.
“Inisiatif ini dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang subsidi kerajaan. Walaupun begitu, Gula Rahmah masih mampu ditawarkan pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran, selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup,” katanya.
Buat masa ini, beliau berkata, penjualan Gula Rahmah hanya dilaksanakan melalui Jualan Rahmah Bergerak yang diselaraskan oleh kementerian untuk memastikan pengedaran produk itu terkawal dan sampai kepada kumpulan sasaran.
“Ketika ini, pelaksanaan melalui Jualan Rahmah Bergerak adalah langkah permulaan yang baik.

Pensijilan halal Gula Rahmah berpotensi menjadi antara langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya bagi barangan keperluan asas. (kredit foto: Nabalus News)
“Pada masa yang sama, kami berharap inisiatif Gula Rahmah ini dapat dipertimbangkan untuk diperluaskan secara lebih menyeluruh ke pasaran domestik, agar lebih ramai rakyat di seluruh negara berpeluang menikmati gula pada harga di bawah harga kawalan,” katanya.
Menurutnya, inisiatif perluasan itu berpotensi menjadi antara langkah berkesan bagi menangani isu kos sara hidup, khususnya dalam membeli barangan keperluan asas yang digunakan secara harian oleh rakyat.
Majlis tersebut turut mempamerkan produk Gula Rahmah yang bakal diagihkan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.
Gula Rahmah mencerminkan langkah progresif Kerajaan MADANI terhadap memperkukuh tadbir urus industri makanan serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Waktu Solat


07 Jan 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:45
















