May 16, 2025 5PM
HDC dan MFW bantu PMKS tembusi pasaran Halal China
Halal Development Corporation Bhd (HDC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah membentuk kerjasama strategik dengan Muslim Friendly Watch (MFW) bagi menggiatkan perdagangan dan usaha Diplomasi Halal Malaysia dengan China.
Kerjasama yang berkuat kuasa serta merta itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan perniagaan berasaskan Halal dan meningkatkan hubungan digital antara kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, inisiatif itu menyokong pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam menembusi pasaran Halal China yang sedang berkembang dengan memanfaatkan platform digital, akses pembiayaan dan e-dagang.
Populasi umat Islam di China yang terus berkembang menjadi antara faktor tarikan pelaburan luar bagi sektor Halal negara Asia Timur itu (kredit foto: Malaysiakini)
“Bersama MFW, kerjasama ini akan menyokong perniagaan kecil dan sederhana Malaysia untuk memasuki pasaran halal China melalui akses kepada ekosistem digital, pembiayaan dan platform e-dagang,” katanya seperti dilapor NST.
Untuk rekod, China telah muncul sebagai pemain industri Halal global yang utama dengan kapasiti penduduk Muslim seramai lebih 20 juta orang dan tarikan minat pengguna bukan Muslim.
Tahun lalu, China merupakan antara dua destinasi eksport Halal terpenting Malaysia, mencapai RM7.04 billion dalam sektor makanan dan minuman, produk hasil minyak kelapa sawit, bahan kimia industri, kosmetik dan farmaseutikal.
Laluan dagang berdasarkan inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) (kredit foto: Malaysian Business)
Perkembangan pasaran Halal China adalah hasil inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) serta aktiviti e-dagang merentas sempadan di zon-zon industri Halal seperti wilayah Ningxia dan Xinjiang.
Menurut President MFW, Noorman Kamsani pula, kerjasama ini membolehkan pengusaha perniagaan untuk beralih ke pensijilan Halal dengan lebih yakin di bawah rangka kerja penandaan jangkaan pengguna dan piawaian industri.
Kini, HDC dan MFW dalam usaha melibatkan pihak berkepentingan, mengadakan program-program kesedaran, dan melancarkan Muslim Choice System untuk meningkatkan kepercayaan dan ketelusan dalam kegiatan Halal.
Waktu Solat


17 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:40

