May 29, 2025 11AM
Gabung HDC dan MATRADE untuk kukuh kedudukan Halal negara
Penggabungan Halal Development Corporation (HDC) dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membentuk ekosistem perdagangan dan industri Halal masih dalam peringkat kajian.
Menteri Pelaburan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mempertimbangkan beberapa cadangan lain termasuk pemerkasaan industri Halal negara.
"Kita ingin perkasakan industri halal ini dengan memberi fokus kepada pembangunan Halal serta tidak mahu ada pertindihan dari segi perdagangan Halal.
Penggabungan tersebut juga akan mengurangkan pertindihan gerak kerja antara dua badan tersebut (kredit foto: MATRADE dan HDC)
"Selain itu, kita juga mahu MATRADE lebih fokus pada perdagangan Halal dari segi memberi akses kepada produk Halal, pada masa sama memastikan HDC memberi lebih fokus pada pembangunan Halal," katanya seperti dilapor BERNAMA.
Tambah beliau, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pula akan tertumpu kepada pelaburan-pelaburan melibatkan industri Halal.
Susulan penggabungan itu, jawatankuasa pro-tem atau sementara ditubuhkan bagi menyelaraskan sumber dan rangka kerja operasi untuk memastikan penyatuan fungsi serta pekerjaan diurus secara saksama.
Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai peneraju Halal global selama 10 tahun berturut-turut (kredit foto: Malaysiakini)
“Penggabungan itu disasarkan untuk meningkatkan kepimpinan dan daya saing Malaysia dalam pasaran Halal global, diunjurkan mencecah US$5 trilion (RM21 trilion) menjelang 2030,” kata MITI dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata cadangan Sekretariat Majlis Halal Malaysia untuk menubuhkan Suruhanjaya Halal akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
"Buat masa ini, kita masih dalam 'circulation' dan mendapatkan komen serta ulasan daripada kementerian lain. Apabila diluluskan kelak, kita boleh beri lebih pencerahan mengenai penubuhan suruhanjaya ini," katanya.
Waktu Solat


31 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:39

