Feb 05, 2026 2PM
Lumpur, dron dan mesin padi pengubah nasib Anwar Ibrahim
Bermula dengan memandu traktor di bendang sejak berusia 16 tahun, Anwar Ibrahim tidak pernah menyangka teknologi dron akan mengubah hala tuju hidup dan kerjaya pertaniannya.
Anak jati Kampung Parit 2 Timur Sungai Besar, Selangor itu mengakui kehidupannya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak pernah jauh dari sawah dan lumpur kerana mengikuti jejak langkah ayahnya sebagai pesawah.
“Selepas menamatkan SPM, saya tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Saya memilih untuk mengikuti jejak langkah ayah kerana sejak kecil saya sudah terbiasa dengan kehidupan di kampung dan kerja-kerja pertanian,” katanya.
Namun segalanya mula berubah apabila Anwar diberikan peluang untuk menyertai Sijil Kompetensi Juruterbang Kawalan Jauh 1 (RCoC-B) serta modul latihan pengendalian Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) bagi pengendalian dron pada Ogos tahun lalu.
Peluang itu ditawarkan melalui Program Kampung Angkat MADANI (KAM) yang dilaksanakan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Bantuan dron pertanian ini turut menyokong elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merangkumi latihan kemahiran teknikal kepada pengendali dron dalam pengendalian, penyelenggaraan dan aplikasi dron pertanian.

Imej dron sedang diterbangkan oleh pengendali dron bertauliah, Anwar Ibrahim
Menurut beliau, peluang itu merupakan titik tolak besar dalam hidupnya, membuka ruang untuk belajar kemahiran baharu, meningkatkan keyakinan diri, dan melihat potensi kerjaya sebagai pengendali dron bertauliah yang sebelum ini tidak pernah difikirkan.
“Sijil kompetensi itu diperkenalkan bagi memastikan pengendali dron mematuhi peraturan, memenuhi keperluan dan prosedur operasi dan menjalankan penerbangan dron dengan selamat.
“Pada awal, saya tidak begitu berminat dengan dron, malah sekadar menurut saranan ayah yang melihat potensi teknologi itu dalam pertanian.
“Namun minat itu hadir perlahan-lahan, terutama selepas sebulan belajar dan apabila saya dah dapat dron yang MYSA bagi, saya cuba kendalikan sendiri. Dari situ timbul minat,” katanya.
Menurut Anwar, pembelajaran itu bukan sekadar mengenai teknologi tetapi membuka mata mengenai ilmu pertanian yang lebih moden dan tersusun.
Sebab itu kata beliau, peluang yang diberikan MYSA amat bermakna buat dirinya.
“Masuk kelas itu bukan saja dapat ilmu pasal dron, saya belajar cara meracun yang betul dan akhirnya dapat lesen.
“Harga lesen mahal. Kalau tiada bantuan, saya rasa memang tidak mampu nak ambil. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit 4 Timur, Ibrahim Sahadan, mendemonstrasikan penggunaan bahan pengisar padi
“Kalau MYSA tidak berikan peluang ini, saya rasa saya tidak akan ada lesen. Apabila ada lesen dan sijil, saya rasa peluang kerjaya jadi lebih besar,” katanya.
Anwar, 28, berkata, kejayaan memperoleh lesen itu bukan hanya untuk dirinya, tetapi demi keluarga dan komuniti petani di kampung tersebut.
Sebelum ini katanya, mereka sering bergantung kepada perkhidmatan pihak luar untuk kerja-kerja meracun dan adakalanya ia mendatangkan kerugian.
“Ayah saya memang sokong. Dia sendiri petani. Dia galakkan saya sebab dia tahu susahnya kerja di bendang.
“Kalau guna orang luar, kita kena ikut jadual dia. Misalnya kita nak racun hari ini tapi dia cakap dua hari lagi baru datang. Apabila lambat, tanaman boleh rosak,” katanya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit 4 Timur, Ibrahim Sahadan, program KAM ternyata memberi impak besar kepada kehidupan penduduk di Kampung Parit 4, Sungai Besar, Selangor khususnya dalam pengurusan hasil pertanian dan peningkatan taraf hidup mereka.

Mesen pengisar padi menukar padi yang masih bertanduk (beras dengan kulit) menjadi beras yang bersih dan sedia dimasak
Beliau berkata, sebelum program itu diperkenalkan, mereka terpaksa membeli beras dari luar kerana tiada kemudahan untuk memproses padi sendiri.
Bagaimanapun, menurut Ibrahim, 66, matlamat program itu bukan bertujuan menjual beras, sebaliknya memproses beras untuk kegunaan sendiri.
“Saya berterima kasih kepada MYSA yang membantu kami di sini dengan membekalkan dron pertanian dan mesin proses padi. Apabila kami memotong padi, kami akan simpan dan hantar ke sini untuk diproses menjadi beras.
“Sekarang kami dapat makan beras baharu hasil sendiri, bukannya membeli beras yang sudah lama di kedai.
“Dahulu kami terpaksa membeli beras dari luar, tapi sekarang setiap rumah boleh simpan padi dan hantar untuk diproses sendiri. Semua penduduk, kira-kira 180 rumah, boleh menggunakan kemudahan ini.
“Penduduk kampung berterima kasih khususnya kepada MYSA dan Ketua Pengarahnya, Datuk Azlikamil Napiah kerana mengambil kampung mereka sebagai KAM dan menyediakan pelbagai bantuan yang nyata mengubah kehidupan kami,” katanya.
Untuk rekod, peruntukan berjumlah RM1 juta bagi melaksanakan KAM di Kampung Parit 4 pada tahun lalu hasil sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Kampung Parit 4 antara 219 kampung terpilih di seluruh negara untuk 2025. MYSA memilih Kampung Parit 4 yang merangkumi empat sub kampung iaitu Parit 1 Timur, Parit 2 Timur, Parit 3 Timur dan Parit 4 Timur, dengan jumlah penduduk kira-kira 2,400 orang.
Majoriti penduduk kampung terdiri daripada pesawah yang bergantung kepada hasil tanaman padi dalam tempoh enam bulan bagi setiap musim, sekali gus menjadikan pendapatan mereka bersifat bermusim.
KAM dirangka secara menyeluruh dengan komitmen penuh pihak pengurusan tertinggi agensi bagi memastikan pembangunan sosioekonomi penduduk kampung dapat dipertingkat secara mampan.
Waktu Solat


06 Feb 2026
Waktu solat berikutnya,
Syuruk
pada
07:27

















