Dec 09, 2024 3PM
Sijil Halal berjaya lonjak 30 peratus jualan Kopi Rakyat
Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah memberi impak besar kepada jenama Kopi Rakyat, kopi tempatan dari Johor Bahru, dengan peningkatan jualan sebanyak 30% selepas mendapatkan pensijilan Halal Malaysia pada Mei lalu.
Kopi Rakyat menjadi syarikat pertama di Johor yang mendapat bimbingan pensijilan Halal dengan Maybank Islamic di bawah skim premis makanan.
Menurut pengasas kopi tempatan dari Johor Bahru ini, Zulkhairie Razali, permohonan SPHM melalui Solusi Halal2u Maybank Islamic adalah satu langkah proaktif bagi memperkukuh jenama itu yang sudah membuka rangkaian kelima di kompleks beli-belah MyTOWN Shopping Centre (IKEA Cheras), 7 Disember lalu.
“Standard sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi pengiktirafan dan jaminan dari aspek syariah, kesihatan, kebersihan, keselamatan dan kualiti membuatkan pengguna Muslim lebih yakin untuk membeli produk Kopi Rakyat.
Pelanggan Muslim semakin selektif dalam membeli makanan dan minuman jika tiada sijil halal
“Walaupun saya berstatus Bumiputera, saya tidak mahu mengambil ringan bab Halal terutama isu itu di negara ini dipandang sensitif, malah ramai pelanggan Muslim amat selektif dalam memilih hidangan untuk menjamu selera.
“Jadi, apabila Maybank Islamic memaklumkan mereka menawarkan program pensijilan Halal tanpa kos bimbingan, saya fikir mengapa tidak mahu merebut peluang yang ada?” katanya.
Khairie menjelaskan, proses permohonan SPHM tidak mengambil tempoh yang lama dengan bimbingan Fasilitator Halal Maybank Islamic.
“Fasilitator Halal Maybank Islamic sangat membantu dalam memudahkan proses pensijilan Halal bagi Kopi Rakyat dengan lebih cepat dan mudah. Selepas tiga bulan menghantar permohonan, kami berjaya perolehi SPHM,” katanya.
Menurutnya, dengan menyertai beberapa program anjuran agensi perkhidmatan kewangan tersebut, dia kini lebih memahami maksud dan keperluan dalam menyediakan minuman Halal secara menyeluruh,” katanya.
Kopi Rakyat bermula sebagai kopi jalanan, ditubuhkan di Kampung Majidee, Johor Bahru pada 2020
“Sewaktu mengikuti Program Jelajah Halal Maybank Islamic di Johor, saya juga banyak didedahkan mengenai topik Halal dan kepentingannya.
“Sekiranya tidak mengikuti program tersebut, saya tidak akan mendapat pendedahan sewajarnya mengenai kebaikan sijil Halal,” katanya.
Selain Rangkaian MyTOWN Shopping Centre di Kuala Lumpur, Kopi Rakyat sudah beroperasi di kompleks beli-belah Pavilion Bukit Jalil, Nu sentral, Toppen Shopping Centre dan Paradigm Mall di Johor Bahru.
Menurut Khairie, dengan memiliki SPHM, Kopi Rakyat, jenama jalanan yang bermula dari Kampung Melayu Majidee itu lebih yakin untuk mengembangkan rangkaian produk hingga ke negara Asean seperti Thailand, Brunei dan Indonesia.
Jenama kecil seperti Kopi Rakyat berhasrat untuk mengembangkan rangkaian kopi mereka ke negara-negara Asean
Katanya, Kopi Rakyat berhijrah dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur kerana ingin mengintai peluang di ibu kota yang pesat dengan jumlah kehadiran pelancong.
“Dengan adanya SPHM, ia sekali gus membuatkan jenama kecil macam kami menjadi lebih kuat bukan saja kepada pelanggan tempatan bahkan pelancong Muslim yang tercari-cari premis penyediaan minuman halal.
“SPHM dari JAKIM mempunyai standard proses halal antarabangsa, justeru, sesebuah jenama juga mempunyai peluang yang tinggi untuk berkembang ke luar negara,” katanya.
Waktu Solat
12 Dec 2024
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:10