Jun 03, 2025 3PM
Bekalan ternakan dijangka mencukupi untuk Aidiladha
Bekalan ternakan untuk Hari Raya Aidiladha di seluruh Malaysia bagi tahun ini dijangkakan mencukupi dan memenuhi permintaan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam sebuah kenyataan berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan jumlah bekalan ternakan mampu menampung permintaan sembelihan bagi perayaan Aidiladha, 7 Jun ini.
“Mengikut statistik daripada DVS, stok bekalan lembu atau kerbau tempatan sehingga Mac 2025 adalah 35,581 ekor manakala bekalan lembu atau kerbau yang diimport sehingga Mac 2025 adalah sebanyak 3,223 ekor.
“Bagi kambing atau bebiri, stok bekalan tempatan sehingga Mac 2025 adalah 26,845 ekor manakala bekalan kambing atau bebiri yang diimport sehingga Mac 2025 adalah sebanyak 3,322 ekor.
Lembu dan kerbau antara haiwan sembelihan popular dengan permintaan tinggi pada perayaan Aidiladha (kredit foto: Malaysiakini)
“Jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu atau kerbau bagi tujuan korban adalah 38,804 ekor dan jumlah keseluruhan bekalan kambing atau bebiri bagi tujuan yang sama adalah 30,167 ekor,” katanya.
Menurut kenyataan itu, anggaran permintaan bagi ternakan sembelihan mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelihan iaitu sebanyak 34,451 ekor lembu atau kerbau dan 22,453 ekor kambing atau bebiri.
Pada masa sama, DVS menerusi 27 buah rumah sembelihannya sedia untuk beroperasi bagi menunaikan ibadah korban itu dan turut mengeluarkan lesen kepada 40 buah rumah sembelih swasta di Semenanjung Malaysia.
Bagi aktiviti penyembelihan yang ingin dijalankan di luar rumah sembelih misalnya masjid, sekolah, taman perumahan dan tempat awam, KPKM menasihatkan orang ramai untuk memohon permit dan sertakan dokumen-dokumen berkaitan bagi mendapatkan kebenaran.
DVS melalui KPKM juga menyeru orang awam untuk merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang telah dikeluarkan sebagai panduan asas untuk melaksanakan kegiatan korban.
Waktu Solat


05 Jun 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:40 (06 Jun 2025)

